Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 6.1 peratus - Utusan Malaysia

Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 6.1 peratus

PENGELUARAN MSM Malaysia dijangka pada 18.75 juta tan tahun ini, meningkat satu peratus dari tahun lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) terus meningkat sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun pada April 2024 dipengaruhi oleh pertumbuhan output sektor pembuatan yang lebih tinggi, lapor Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP terus meningkat sebanyak 6.1 peratus pada April 2024 selepas mencatatkan 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif bagi empat bulan berturut-turut.

Katanya, IPP juga mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak September 2022 disokong oleh pengembangan dalam semua sektor pada bulan berkenaan dengan pengeluaran sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.9 peratus (Mac 2024: 1.3 peratus) manakala sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan kukuh 10.0 peratus (Mac 2024: 4.9 peratus).

“Selain itu, pertumbuhan sektor elektrik pula kekal stabil pada kadar 7.6 peratus berbanding 8.5 peratus pada Mac 2024. Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP merosot 7.6 peratus berbanding pertumbuhan positif pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan dalam output pembuatan pada April 2024 disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dalam industri berorientasikan eksport iaitu sebanyak 2.6 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Mac 2024.

“Kenaikan tersebut diterajui terutamanya oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis serta pembuatan kimia dan produk kimia yang mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 5.9 peratus dan 5.0 peratus,” katanya.

Menurutnya, pembuatan perabot juga mengalami lonjakan sebanyak 13.1 peratus pada bulan tersebut dengan pengembangan tahun ke tahun, adalah selari dengan prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 7.1 peratus pada April 2024 (Mac 2024: 0.6 peratus).

“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport jatuh 11.6 peratus berbanding pertumbuhan 11.0 peratus pada Mac 2024,” katanya.

Sementara itu, katanya, industri berorientasikan domestik terus berkembang dengan mencatatkan 9.5 peratus berbanding 3.1 peratus pada Mac 2024 dan peningkatan dalam industri berorientasikan domestik didorong oleh pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 20.2 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.

“Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (12.8 peratus) dan pembuatan produk galian bukan logam lain (11.2 peratus). Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik menurun 1.3 peratus (Mac 2024: 1.9 peratus).

“Peningkatan 10 peratus dalam sektor perlombongan pada April 2024 dipacu oleh pertumbuhan dua digit 14.9 peratus dalam pengeluaran Gas Asli (Mac 2024: 8.9 peratus), manakala output minyak mentah dan kondensat pulih kepada 3.5 peratus (Mac 2024: -0.7 peratus).

Ujarnya, perbandingan Mac 2024, indeks perlombongan menyusut 6.3 peratus selepas mengalami pertumbuhan positif 5.3 peratus pada bulan sebelumnya dan masa yang sama, penjanaan elektrik berkembang sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun pada April 2024 (Mac 2024: 8.5 peratus).

Perbandingan bulan ke bulan, indeks Elektrik merosot 4.1 peratus berbanding positif 11.2 peratus yang direkodkan pada Mac 2024.

“Di peringkat global, IPP bagi beberapa negara meningkat pada April 2024 termasuk China, Korea Selatan, Vietnam, dan Thailand, dengan pertumbuhan kukuh dapat dilihat di Taiwan manakala Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat terus mengalami trend kemerosotan pada April 2024.

“Merumuskan prestasi IPP bagi tempoh empat bulan pertama 2024, IPP bertambah baik sebanyak 3.9 peratus berbanding 1.3 peratus yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pengembangan, iaitu indeks Perlombongan (6.9 peratus), indeks Pembuatan (2.8 peratus) dan indeks Elektrik (8.8%),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN