BNM tambah enam entiti baharu dalam FCA - Utusan Malaysia

BNM tambah enam entiti baharu dalam FCA

opr
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menambah enam entiti baharu dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan (FCA).

Ini melibatkan Emar Markets, HF Markets and HF Markets (SV) Pty Ltd, AVAPartner and AVATrade, Just Markets, Etoro Investment dan I Investment 254.

Menerusi hantaran di media sosial BNM, pihaknya menjelaskan bank pusat juga mengemas kini maklumat berkenaan dengan Najmuldin Exchanger, FBS Malaysia, dan MIDF Investment Scheme dalam senarai itu.

“Senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam laman web rasmi BNM memberitahu, FCA merupakan panduan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai entiti atau skim yang telah disalah anggap atau kelihatan sebagai entiti atau skim berlesen atau dikawal selia oleh bank pusat.

“Senarai ini dikemas kini berdasarkan maklumat yang diterima oleh BNM daripada orang ramai dan selepas menjalankan penilaian yang sewajarnya ke atas entiti dan skim yang dilaporkan.

“Pengguna boleh merujuk FCA sebagai salah satu cara untuk menyemak sama ada sesebuah entiti atau skim itu telah dikenal pasti tidak mendapat kebenaran daripada bank pusat itu untuk menawarkan produk atau perkhidmatan kewangan yang dikawal selia oleh BNM,” katanya.

BNM memaklumkan, bagaimanapun, jika selepas itu nama entiti atau skim tersebut tiada atau dikeluarkan daripada senarai FCA tersebut, hal itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa entiti atau skim berkenaan telah diberi lesen atau berada di bawah kawal selia BNM.

BNM menekankan bahawa sama seperti mana-mana pelaburan kewangan, pengguna dinasihati supaya melakukan usaha wajar apabila membuat pelaburan dengan mana-mana entiti atau skim kewangan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai FCA, boleh melayari http://bnm.gov.my/fca. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN