PETALING JAYA: A330neo pertama untuk Malaysia Airlines dalam pemasangan terakhirnya dan dijangka tiba pada suku ketiga tahun ini.
Airbus dalam kenyataan berkata, pihaknya telah memulakan pemasangan akhir A330neo yang pertama dengan bahagian ekor yang sudah siap dicat logo ikonik wau syarikat penerbangan tersebut.
“Pesawat ini adalah yang pertama daripada 20 A330-900 untuk menyertai pesawat syarikat penerbangan di bawah program pemodenan pesawat berbadan lebar,” katanya.
Katanya, proses pengeluaran bermula di beberapa lokasi di sekitar Eropah, di mana bahagian pesawat utama dikeluarkan.
“Ini termasuk bahagian fiuslaj hadapan, tengah dan belakang serta sayap dan ekor kapal terbang.
“Bahagian-bahagian ini menyepadukan komponen daripada pembekal di seluruh dunia, termasuk Malaysia, sebelum dihantar ke barisan pemasangan terakhir Airbus di Toulouse untuk pemasangan terakhir,” katanya.
Jelasnya, selepas bahagian fiuslaj utama, sayap dan ekor siap dipasang, fasa seterusnya melibatkan pemasangan kokpit, enjin, gear pendaratan, pendawaian elektrik, avionik, bahan api dan sistem hidraulik.
“Pesawat kemudiannya akan menjalani pemeriksaan darat yang teliti sebelum pemasangan bahagian dalam kabin.
“Ini akan diikuti dengan persiapan untuk penerbangan pertama dan proses penghantaran,” katanya.
Tambahnya, komponen A330neo buatan Malaysia termasuk peralatan avionik seperti alat paparan dan komunikasi, bahagian struktur logam dan struktur penutup bahagian enjin atau kowling.-UTUSAN










