PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) mengumumkan lonjakan keuntungan bersih bagi suku pertama 2024 sebanyak 51 peratus kepada RM57.5 juta berbanding RM38.2 juta pada suku sama tahun lepas.
Menurut kenyataannya, kedua-dua segmen perniagaan runcit dan pengurusan hartanah juga merekodkan peningkatan dalam kutipan hasil pada suku pertama.
“Segmen perniagaan runcit berjaya mencatat hasil sebanyak RM980.5 juta, meningkat 4.2 peratus berbanding RM941.4 juta pada suku sama tahun sebelum didorong perbelanjaan pengguna sempena musim perayaan, terutamanya dalam kategori makanan dan pakaian,” katanya.
Jelasnya, hasil khidmat pengurusan hartanah pula meningkat sebanyak 13.0 peratus iaitu RM186.9 juta berbanding RM165.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
“Ini dipacu kadar penyewaan dan pembaharuan sewa yang berkesan. Kadar penyewaan dilaporkan mencecah 93.6 peratus setakat Mac 2024, disokong oleh projek memperbaharui pusat beli belah yang berjaya dan menaik taraf pasar raya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada berkata, AEON tetap fokus memastikan kelancaran strategi utamanya dalam mengutamakan pelanggan dalam segala urusan walaupun ramai pengguna bersikap berhati-hati untuk berbelanja.
“Pelanggan bakal menikmati pelbagai produk, promosi dan program yang dilaksanakan oleh pusat beli belah kami dalam usaha menawarkan pengalaman membeli belah yang terbaik sepanjang tahun in dalam rangka tahun ke-40 AEON,” katanya.
Mengulas lanjut sambutan ulang tahun ke-40 AEON, beliau berkata, ia bermula dengan pembukaan stornya yang ke-35 iaitu AEON Setia Alam dan juga telah melancarkan jerayawara ‘Senyum Tour’.
“Jerayawara ini akan bertemu pelanggan di seluruh pusat beli belah AEON seluruh Malaysia bermula 27 April hingga 31 Disember 2024 dan menawarkan pengalaman beli belah menarik di setiap cawangan,” ujarnya.
AEON dalam merangka beberapa projek, termasuk pengubahsuaian AEON Bandar Puchong, AEON Bukit Indah, AEON Tebrau City dan AEON Ipoh Station 18 pada masa akan datang. – UTUSAN