PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melaporkan peningkatan trafik penumpang udara sebanyak 16.1 peratus pada suku pertama 2024 kepada 22.6 juta penumpang berbanding suku pertama 2023.
Menurut kenyataannya, sorotan statistik menunjukkan corak perjalanan udara telah kembali kepada keadaan sebelum Covid-19 dalam kalangan penumpang Malaysia.
Katanya, pendorong utama lonjakan ini adalah berikutan peningkatan trafik udara antarabangsa sebanyak 39.9 peratus tahun ke tahun, yang mencecah 11.9 juta penumpang.
“Berbanding dengan suku keempat 2023, jumlah trafik penumpang udara pada suku tinjauan meningkat sebanyak 2.7 peratus suku ke suku, meskipun terdapat sedikit penurunan bagi trafik udara domestik sebanyak 2.5 peratus.
“Trafik penumpang udara antarabangsa meningkat sebanyak 7.9 peratus suku ke suku,” katanya.
Mavcom berkata, trafik penumpang udara domestik suku tahunan pula menurun sedikit iaitu sebanyak 2.3 peratus pada 10.7 juta penumpang.
Suruhanjaya berkata, pertumbuhan trafik udara suku tahunan direkodkan walaupun terdapat penurunan sebanyak 10.0 peratus bulan ke bulan daripada 8.1 juta pada Februari 2024 kepada 7.3 juta pada Mac 2024.
“Bulan tersebut turut menyaksikan penurunan ketara dalam perjalanan udara domestik iaitu sebanyak 14.8 peratus daripada 4.0 juta pada Februari kepada 3.4 juta pada Mac 2024.
“Trafik udara antarabangsa juga turut menyaksikan penurunan sebanyak 5.4 peratus bulan ke bulan. Jumlah penumpang ini mencerminkan pengurangan aktiviti perjalanan udara semasa bulan Ramadan.
“Namun begitu, trafik penumpang udara pada Mac 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun daripada Mac 2023 yang merekodkan seramai 6.9 juta penumpang,” ujarnya.
Tambahnya, trajektori pemulihan industri daripada pandemik Covid-19 menunjukkan suku pertama telah mencapai 85.5 peratus daripada paras 2019, dengan pemulihan trafik udara antarabangsa pada kadar 89.3 peratus dan trafik domestik pada kadar 81.7 peratus.
Dari segi pergerakan kargo udara, Malaysia telah merekodkan sebanyak 227,365 tan metrik pergerakan kargo pada suku pertama, iaitu penurunan sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun berbanding 242,750 tan metrik pada suku pertama 2023.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, syarikat penerbangan telah mengalihkan fokus mereka terhadap pemulihan dan penambahan destinasi antarabangsa baharu dalam rangkaian udara mereka.
“Selain itu, inisiatif pengecualian visa selama 30 hari bagi pelancong dari China dan India telah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perjalanan udara antarabangsa yang kian pesat meningkat,” jelasnya.-UTUSAN










