PASARAN skuter tanah air masih lagi berada di tahap yang agak tinggi. Walau bagaimanapun, pasaran ini didominasi oleh tiga kumpulan utama iaitu skuter kecil khas untuk para penunggang muda seperti remaja, pelajar, wanita atau warga emas. Skuter kecil ini selalunya berkapasiti enjin yang rendah, sama ada 80cc sehingga 125cc. Menjadi pilihan mereka yang harus bergerak dari titik A ke titik B yang selalunya dalam lingkungan radius 10 ke 15 kilometer (km) manakala kelajuan yang diambil selalunya tidak melebihi 100km/j.
Sementara itu, kumpulan kedua adalah golongan dewasa berumur dari lewat 20-an hingga lewat 50-an. Mereka ini berpengalaman menunggang sekurang-kurangnya 10 tahun dan memerlukan skuter untuk berulang alik kerja dan memacu skuter ini sekitar 20 ke 40km sehari. Kebanyakannya juga gemar memilih skuter maxi, yang mana paling ramai tertumpu pada skuter berkapasiti enjin 250cc ke atas.
Kumpulan terakhir adalah daripada remaja hingga awal 20-an. Golongan inilah yang inginkan sebuah skuter sport, seperti yang pernah terdapat di pasaran skuter-skuter 150cc, 155cc dan akhir-akhir ini 160cc. Kumpulan ini menjadikan penggunaan skuter satu gaya hidup denganmewujudkan kumpulan rakan-rakan yang mempunyai skuter atau kapasiti enjin yang sama.
REKA BENTUK FIZIKAL AVENIS 125
Didatangkan dengan tiga skim warna sebagai pilihan utama iaitu Biru Trion Metalik dan Perak seperti skim motosikal perlumbaan Suzuki ketika motoGP dahulu, dan warna hijau metalik fluorescent yang agak popular masa kini, serta warna hitam mati atau matte black.

Avenis 125 ini mempunyai fizikal yang kecil dan tidak sepadan langsung dengan susuk tubuh saya yang berketinggian enam kaki. Saiz rodanya yang sungguh kecil (depan bersaiz 12 inci dan belakang bersaiz 10 in ci) memburukkan lagi keadaan.
Ia lebih sesuai untuk penunggang yang kecil molek, terutama golongan wanita atau pelajar perempuan. Namun untuk wanita yang mempunyai gaya tunggangan yang agresif, skuter ini juga tidak sesuai untuk anda. Pastikan anda turut membaca komen saya tentang pengendalian dan tunggang uji di bawah.
Sungguhpun saiznya yang agak comel, ruang penyimpan barangan di bawah pelana agak memuaskan dan secara kasarnya mampu mengisi satu helmet ‘steng’ atau jenis separuh seperti cengkerang kura-kura, selain sebuah beg galas saiz sederhana. Di ruang bawah bar pemegang skuter ini terdapat dua ruang menyimpan barangan, iaitu di sebelah kanannya lebih kepada seperti sebuah poket terbuka, namun saya nasihatkan jangan meletakkan telefon bimbit atau dompet di poket tersebut kerana dikhuatiri akan tercicir akibat gegaran atau goncangan ketika menunggang, atau disamun ketika berhenti di lampu isyarat.
Terdapat juga satu ‘cangkuk’ yang agak bermanfaat terletak betul-betul di tengah yang sesuai untuk menyangkut barangan yang dibeli di kedai.
Lampu hadapan utamanya jenis diod pemancar cahaya (LED) dan agak memuaskan pancarannya. Sementara lampu isyarat skuter ini terletak pada bahagian bar pemegang dan rekaan keseluruhannya pada saya memberi imbasan rupa kepala seekor serangga seperti mentadak.

PENUNGGANGAN
Inilah segmen yang paling susah untuk saya karang. Namun, saya tidak boleh merumuskan satu sudut yang sama untuk orang ramai oleh kerana keperluan, kemahiran, pengalaman dan fizikal kita semua berbeza.
Harus saya tekankan di sini, skuter ini bukan untuk mereka yang inginkan prestasi. Sama ada prestasi kelajuan atau pengendalian hebat atau ekstrim. Penunggangnya perlu sedar ini adalah sebuah mod pengangkutan urban atau metropolitan.
Keupayaan mencecah 100km/j adalah satu keupayaan yang jarang dapat dicapai melainkan laluan tunggangan anda menurun bukit sahaja setiap masa. Mungkin atas sebab enjin Avenis ini dihasilkan untuk mencapai piawaian Euro 5, maka kuasa tujahan enjinnya amat mendatar dan sangat lambat untuk mencapai kelajuan optimumnya.
Begitu juga ketika pengambilan selekoh yang tajam atau dengan laju. Saya gagal mendapatkan keyakinan ketika di selekoh tajam dan kelajuan yang sedikit agresif.

Ia bergoyang dan saya dapat merasakan seolah-olah tayarnya tidak mampu mencengkam dengan baik. Saiz rodanya yang kecil dan saiz tayar yang agak tirus, ternyata mengurangkan keyakinan untuk pengambilan selekoh dengan laju. Mungkin juga, akibat jarak antara rodanya yang agak dekat, menambah kekurangan kestabilan dalam selekoh laju.
KESIMPULAN
Memang agak malang sekali skuter ini dapat ke tangan seorang penunggang uji yang agak terlalu biasa dengan penunggangan ekstrim sama ada dari segi kelajuan atau pengendalian. Suzuki Avenis 125 ini mempunyai rekaan yang menarik, tidak keterlaluan juga sekiranya saya katakan ia agak sporty atau agresif. Namun ia hanya sesuai untuk tunggangan yang ringan sahaja dan tidak boleh dibawa secara ekstrim.
Jadi, skuter ini boleh dikatakan sesuai untuk menunggangnya di dalam kawasan kolej atau universiti, atau dalam kawasan taman perumahan dan juga kegunaan untuk warga emas berulang-alik ke surau dan masjid.
Harga pasaran untuk Suzuki Avenis 125 (yang berskim warna perlumbaan rasmi pasukan Suzuki) adalah sekitar RM7,200 tanpa caj pendaftaran, cukai jalan dan insurans. – UTUSAN










