Subsidi bersasar langkah berani, jimat kos kerajaan - Utusan Malaysia

Subsidi bersasar langkah berani, jimat kos kerajaan

HARGA diesel dijangka meningkat sehingga RM3.40 seliter apabila kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi tidak lama lagi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan subsidi bersasar diesel merupakan langkah berani yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bakal menjimatkan kos kerajaan sehingga RM4 bilion setiap tahun.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, penyelarasan subsidi ini merupakan suatu perkara yang positif dan masyarakat perlu memberi ruang dan peluang kepada kerajaan untuk menterjemahkan perancangan yang telah diuar-uarkan sebelum ini supaya agenda ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ujarnya, ini kerana pelbagai pemberian subsidi yang telah dilaksanakan sebelum ini kurang memberi impak kepada masyarakat secara dominan dan akhirnya ia tidak membawa rakyat khususnya B40 keluar daripada bebanan kos hidup.

“Sesetengah kumpulan masyarakat lain pula dapat menikmati subsidi ini dengan margin penggunaan yang tinggi sedangkan golongan ini kurang atau tidak terkesan dengan perubahan suasana ekonomi semasa negara.

“Oleh itu, pelarasan ini adalah langkah yang tepat dan berani oleh kerajaan bagi membanteras segala ketirisan dan kebocoran dalam corak agihan yang dilaksanakan sebelum ini.

“Dengan harapan, apabila perkara ini dapat diatasi melalui penyelarasan subsidi, maka golongan yang bersasar dan perlu sahaja yang layak menerima subsidi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, penyelarasan subsidi yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan pada ketika ini kerana kerajaan mahu menuju ke arah perbelanjaan yang jauh lebih berhemah supaya tidak membazir dan hutang negara menjadi minimum.

“Selain itu, kerajaan juga mahu melaksanakan penyelarasan subsidi pukal ke arah subsidi bersasar yang mampu mengelak kebocoran dan ketirisan dalam proses pelaksanaan subsidi ini.

“Ini akan membantu kerajaan ke arah pengurusan perbelanjaan negara dengan lebih efisien dan berdaya maju serta menjimatkan kos kerajaan,” ujarnya.

Kelmarin, menerusi siaran langsung Perutusan Negara Perdana Menteri, Anwar mengesahkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan subsidi bersasar diesel yang dijangka mampu membawa penjimatan kira-kira RM4 bilion kepada negara setiap tahun.

Langkah tersebut akan dijalankan di Semenanjung Malaysia sahaja kerana keadaannya berbeza untuk situasi di Sabah dan Sarawak.

Anwar menjelaskan, langkah tersebut hanya memberi kesan kepada golongan kaya serta warga asing, manakala kelompok lain termasuk B40 akan tetap mendapat manfaat melalui pelbagai inisiatif kerajaan.

Katanya, butiran lanjut mengenai langkah tersebut akan diperincikan oleh kementerian berkaitan tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya