Sektor pembinaan Malaysia bakal aktif pada pertengahan tahun - Utusan Malaysia

Sektor pembinaan Malaysia bakal aktif pada pertengahan tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini ekoran lebih banyak tawaran tender yang akan diumumkan kerajaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keadaan itu didorong apabila kerajaan memperkenalkan tender terbuka, iaitu dibahagikan kepada dua jenis, tender terbuka biasa dan tender buka pra kelayakan terpilih.

Beliau berkata, pembukaan tender-tender tersebut diyakini bakal merancakkan lagi projek-projek pembangunan negara yang telah diumumkan sebelum ini untuk dilaksanakan.

“Kita berharap RM90 billion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 bagi perbelanjaan pembangunan negara, boleh dilaksanakan sebahagian besarnya pada pertengahan tahun ini.

“Ini supaya pada suku ketiga dan suku keempat nanti,projek-projek pembangunan sudah mula dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri ceramah makan tengah hari anjuran Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) yang berjudul ‘Awaiting Take-Off of Construction Sector.’

Ahmad Maslan berkata, peruntukan secara keseluruhan bagi pembangunan kerajaan dan swasta yang berjumlah RM180 bilion perlu dimanfaatkan.

Jelasnya 40 peratus daripada projek kerja-kerja pembinaan kerajaan terutamanya melibatkan peruntukan daripada kerajaan RM90 bilion akan mula memasuki fasa perlaksanaan.

“Projek yang dimaksudkan ialah pembinaan yang membabitkan pembinaan sekolah, hospital, klinik dan jalan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md. Yusof berkata , sektor pembinaan sememangnya memainkan peranan penting dalam pembangunan negara secara menyeluruh.

“Dalam usahanya untuk menjadi pemangkin pertumbuhan, ia turut memberi kesan lain, bukan sahaja dalam pembangunan infrastruktur dan jaringan pengangkutan, tapi manfaat kepada masyarakat sendiri,” katanya dalam ucapan beliau di majlis itu.

Tambahnya, sumbangan sektor pembinaan membuka pintu kepada peluang pekerjaan, memupuk inovasi, dan mencetus kemajuan dalam pelbagai komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN