MUKHADIMAH
Penyenaraian Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT), menyaksikan satu peristiwa penting dalam pasaran kewangan negara. Penampilan sulung Prolintas Infra BT di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, menimbulkan lebih banyak persoalan berkenaan perbezaan antara Amanah Perniagaan (BT) dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dalam landskap pelaburan di negara ini.
Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Hendra Winarno berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Azlan Abdullah mengenai perkara itu.
UTUSAN: Bolehkah Datuk jelaskan dengan lebih lanjut mengenai bagaimana tawaran awam permulaan (IPO) Prolintas Infra BT menjadi satu pencapaian penting dalam pasaran kewangan Malaysia, khususnya dalam bidang pelaburan infrastruktur?
AZLAN: IPO Prolintas Infra BT selaku amanah perniagaan lebuh raya patuh syariah pertama di Malaysia, ia membuka ruang kepada pelabur-pelabur untuk terlibat secara tidak langsung dalam pembangunan infrastruktur di Malaysia.
Kami menyumbang kepada pertumbuhan pasaran modal negara melalui kaedah amanah perniagaan berteraskan aset lebuh raya yang pertama di Malaysia.
Ia merupakan satu platform inovatif yang memberi peluang kepada pelabur menerima pulangan pelaburan lebih mampan serta terlibat dalam menyumbang kepada pembangunan, pengendalian dan penyelenggaraan infrastruktur lebuh raya.
Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada profil risiko yang berbeza antara REIT dan BT dan bagaimana Prolintas Infra BT mengendalinya untuk menawarkan kestabilan dan potensi pertumbuhan kepada pelabur?
Perbezaan profil risiko antara REIT dan BT boleh dilihat daripada jenis asas aset-asetnya dan dinamik pasaran.
REIT dipengaruhi oleh sewaan dan turun naik pasaran hartanah, menyebabkan ketidaktentuan yang lebih tinggi.
Sebaliknya, bagi BT seperti Prolintas Infra BT menerima manfaat daripada kestabilan sektor lebuh raya dan pertumbuhan konsisten dari segi jumlah trafik serta disokong oleh perkembangan positif dalam jumlah pemilikan jumlah kenderaan, pertumbuhan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi dan sosial terutama di Lembah Klang.
Mengambil kira trend perbandaran dan pertumbuhan jualan kenderaan yang konsisten, bagaimanakah Prolintas Infra BT memanfaatkan dinamik pasaran ini untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unitnya?
Kesemua jajaran lebuh raya kami terletak di lokasi-lokasi strategik penting samada melibatkan kawasan pembangunan sedia ada dan matang meliputi kediaman peribadi serta kawasan komersial dan perindustrian di sekitar Lembah Klang.
Ia juga menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu di kawasan sekitarnya. Misalnya, GCE merangsang pembangunan kawasan Elmina, manakala, LKSA menjadi laluan terus yang menghubungkan pengguna dengan kawasan Alam Impian.
Ini membolehkan kami memanfaatkan potensi bagi memastikan pendapatan yang konsisten dan berdaya saing, sekali gus memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit.
Seterusnya, pertumbuhan trafik susulan daripada kegiatan ekonomi dan sosial memberikan unjuran pendapatan yang positif kepada syarikat.
Bolehkah Datuk terangkan lebih lanjut bagaimana kedudukan strategik Prolintas Infra BT di Lembah Klang memainkan peranan dalam memberikan keyakinan kepada pelabur terhadap pertumbuhan hasil jangka panjang?
Lebuh raya di bawah Prolintas Infra BT yang terletak secara strategik di sekitar Lembah Klang iaitu hab ekonomi terbesar di Malaysia adalah rangkaian pengangkutan jalan yang penting, menghubungkan pengguna ke kawasan perumahan, pusat komersial dan zon perindustrian.
Dengan menyediakan infrastruktur asas penting yang memudahkan pergerakan dan aktiviti ekonomi, Prolintas Infra BT memastikan unjuran baik ke hadapan untuk aliran pendapatannya, seterusnya menawarkan pelabur dengan sumber pendapatan yang kukuh dan meyakinkan.
Komitmen amanah perniagaan ini bagi pengurusan aset yang proaktif menambah baik keupayaannya mengekalkan dan memperkukuh nilai aset lebuh raya dari semasa ke semasa.
Bagaimanakah Prolintas Infra BT mampu memberi manfaat kepada komuniti menjangkaui pulangan kewangan? Bolehkah Datuk huraikan tentang sebarang inisiatif khusus ESG atau amalan kelestarian yang dilaksanakan oleh syarikat atau amanah?
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. menerusi anak-anak syarikatnya dan Prolintas Infra BT komited terhadap inisiatif kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berterusan..
Antaranya, bagi empat lebuh raya di bawah Prolintas Infra BT, kesemuanya diterangi dengan lampu jalan LED di sepanjang lebuh rayanya dan berjaya mengurangkan kira-kira 50 peratus penggunaan tenaga.
Di samping itu, lebuh raya Prolintas dibina dan diselenggara dengan bahan binaan mesra alam dan lebih inovatif seperti Sistem Bahan Binaan Berindusri (IBS) dan Teknologi Plastic Waste Extender (MacRebur) yang mengurangkan kebergantungan terhadap bitumen.
Inisiatif CSR berterusan turut dijalankan seperti kerjasama strategik dengan Yayasan Pelajaran MARA bagi menawarkan tuisyen secara percuma kepada pelajar kurang berkemampuan. Pihak syarikat turut menjalankan aktiviti seperti menanam pokok bersama kanak-kanak Tabika KEMAS dengan kerjasama Free Tree Society dan mengumpul kasut-kasut terpakai untuk tujuan kitar semula bersama EcoKnights.
Prolintas juga komited membantu golongan memerlukan dengan menyediakan dana bantuan termasuk kepada warismangsa nahas pesawat di Elmina.
Bagaimanakah Prolintas Infra BT menyumbang kepada pengurusan lalu lintas dan pengurangan kesesakan di Lembah Klang?
Prolintas Infra BT mengendali empat lebuh raya di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK).
Kesemua lebuhraya ini menyediakan laluan alternatif dengan kesalinghubungan yang baik kepada pengguna, bersambung dengan lebuh raya dan jalan raya lain di sekitarnya, seterusnya menambah baik rangkaian pengangkutan jalan serta menyuraikan trafik dengan lebih berkesan di Lembah Klang.
Selain itu, peronda lebuh raya dan petugas di Operasi Pusat Kawalan (OPK) menjalankan pengawasan lebuh raya 24 jam.
Hotline Prolintas di 1800 22 8888 beroperasi pada setiap masa bagi memastikan sebarang situasi kecemasan yang dihadapi pengguna dapat diselesaikan dengan baik dan efisyen.
Aplikasi Prolintas Digital Assist memudahkan pengguna lebuh raya kendalian Prolintas dalam merancang perjalanan atau apabila berdepan masalah di lebuh raya.
Pelan pengurusan trafik yang teratur dijalankan terutamanya apabila aktiviti pembinaan dan penyelenggaraan dijalankan serta ketika waktu puncak termasuk membuka laluan kontra, lencongan laluan, memasang papan tanda arah sementara, dan tambahan petugas di lorong tol.-UTUSAN










