Prestasi perdagangan negara dipacu peningkatan di China - Utusan Malaysia

Prestasi perdagangan negara dipacu peningkatan di China

PRESTASI perdagangan Malaysia mencatatkan peningkatan empat bulan berturut-turut. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan China pada suku pertama 2024 yang melebihi jangkaan awal membantu peningkatan perdagangan Malaysia yang merekodkan pertumbuhan dua digit 12.1 peratus kepada RM221.74 bilion berbanding April 2023.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya dilihat prestasi China, pada suku pertama, jumlah import dan eksport barangan mencecah RMB10.17 trilion (AS$1.41 trilion), meningkat lima peratus tahun ke tahun.

Katanya, ini adalah kadar pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan dalam enam suku terakhir.

“Perdagangan Malaysia dengan China antara Januari hingga April 2024 mengembang kepada 5.9 peratus kepada RM151.06 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Perdagangan dengan China yang menyumbang 17.5 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia telah mengekalkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut turut sebanyak 13.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas kepada RM38.78 bilion.

“Malah, eksport negara juga meningkat 2.1 peratus kepada RM14.1 bilion, merupakan pertumbuhan positif pertama sejak Ogos 2023,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sektor perdagangan antarabangsa Malaysia melantun semula dari trend penurunan pada 2023, mencatatkan prestasi cemerlang secara menyeluruh dengan semua rakan dagang utama seperti China, negara ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

“Ini sekali gus membantu negara mencatatkan pertumbuhan yang begitu baik, dengan data bulan April pada 12.1 peratus mengekalkan momentum positif yang ketara, justeru mempengaruhi pencapaian tahunan 9.1 peratus,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, eksport negara kembali kukuh pada April 2024 apabila mencatatkan peningkatan 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM114.72 bilion selepas penyusutan dua bulan berturut-turut.

Jelas kementerian, pertumbuhan itu disumbang oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli.

Katanya, dari segi pasaran, eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua digit manakala eksport ke Republik Rakyat China
(China) pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Ini menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya