Pernah raih lebih RM30,000 seminggu dengan melukis mural

Pernah raih lebih RM30,000 seminggu dengan melukis mural

HARGA mural yang dibuat bergantung kepada saiz dan bentuk serta corak yang diinginkan oleh pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka dengan hanya melukis mural, seorang seniman, Azmi Hussin, 40, pernah meraih lebih RM30,000 dalam masa seminggu sahaja.

Beliau yang dahulunya pelukis karikatur di jalanan pernah menerbitkan 12 buah buku komik pada 2015 tetapi ditolak oleh pihak penerbit kerana dianggap kurang mendapat sambutan.

“Disebabkan itu, saya mula beralih kepada melukis kartun di dinding-dinding sehingga ada yang sanggup mengupah saya untuk menghias tempat terten­tu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, minat di dalam bidang seni lukisan ini sebenarnya bermula sejak kecil lagi.

Namun begitu, masalah kewangan menjadi penghalang kepadanya untuk mengambil jurusan seni di mana-mana universiti mahupun menyertai kelas pada waktu itu.

“Namun, saya tidak berhenti di situ dan masih meneruskan minat ini sehingga ia menjadi punca pendapatan utama saya pada hari ini,” ujarnya.

Beliau yang kini merupakan Pengurus Me Sketch Enterprise, pernah menerima anugerah Book of Record sebanyak tiga kali bagi kategori lukisan karikatur terbanyak dalam masa 24 jam pada 2000.

Dua tahun selepas itu, beliau juga pernah dikategorikan sebagai Pelukis Kopi Terpanjang di bawah tajaan Syarikat Starbucks Malaysia dan Lukisan Komik Terpanjang di Malaysia sebanyak 150m (2021). 

“Dalam ketiga-tiga kategori tersebut, dua daripadanya (Karikatur 24 jam dan Kopi Terpanjang) diiktiraf sebagai Asia Book of Record.

“Disebabkan kejayaan ini, saya dapat mengembangkan perniagaan ini sehingga mampu membuka syarikat hasil daripada usaha saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, harga mural yang dibuat bergantung kepada saiz dan bentuk serta corak yang diinginkan oleh pelanggan.

“Saya meletakkan harga paling minimum antara RM500 hingga RM600 dan boleh mencecah belasan mahupun puluhan ribu untuk sesebuah lukisan mural.

“Kebiasaannya, saya memperoleh keuntungan antara RM5,000 hingga RM6,000 jika tiada projek yang besar.

“Namun, pada satu ketika, saya pernah mendapat projek di bawah syarikat Samsung sehingga saya dibayar lebih RM30,000 dengan hanya melakukan kerja dalam masa seminggu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga gemar mendapatkan khidmatnya untuk mencantikkan lagi bandar itu..

Akan tetapi, beliau tidak terikat dengan mana-mana kontrak jangka masa panjang, malah hanya bergantung kepada projek tertentu sahaja bagi mengelakkan sebarang risiko kepada perniagaannya.

“Saya juga sentiasa berusaha agar perniagaan ini akan terus kekal bangkit dan dikenali dalam kalangan masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Pada Ogos ini, saya akan ke Singapura untuk melakukan mural di sana dan saya berharap akan dapat lebih banyak lagi projek luar selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya