PETALING JAYA: Permintaan tenaga elektrik meningkat sebanyak 3.8 peratus di Semenanjung Malaysia dan Sabah, berbanding dengan 6.1 peratus tahun sebelumnya.
Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, pertumbuhan itu disokong oleh permintaan yang kukuh dalam kedua-dua segmen domestik dan komersial masing-masing dengan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus dan 9.9 peratus.
Jelasnya, TNB merekodkan pencapaian kewangan yang sigifikan dengan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 4.3 peratus, mencecah RM53.07 bilion pada 2023.
“Inisiatif strategik kami menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk menjadi penyedia utama solusi tenaga mampan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia sejajar dengan rangka kerja Ekonomi Madani, yang bertujuan menyusun semula ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.
“Kami berada di barisan hadapan untuk mengembangkan objektif ini melalui projek utama yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR). Inisiatif ini beransur-ansur meningkatkan tenaga boleh baharu (TBB), mengukuhkan kepemimpinan kami dalam solusi tenaga lestari,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pihaknya sedang bersiap untuk Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) 2025-2027 dengan belanja modal (CAPEX) yang ketara bagi menyokong peralihan tenaga Malaysia dan unjuran pertumbuhan permintaan elektrik.
“Kami bersedia untuk melaksanakan program menarik dalam NETR, memastikan Malaysia mencapai matlamat peralihan tenaganya. Dengan TNB mengetuai tanggungjawab itu, kami yakin dapat memupuk masa depan yang mampan, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua,” katanya.
TNB memimpin tiga inisiatif utama teknologi bersih dan TBB berskala besar dalam NETR: Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) dan projek pembakaran bersama hidrogen dan amonia.
Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menjana lebih 3,000MW kapasiti TBB menjelang 2040, dengan anggaran 2,500MW daripada teknologi HHFS dan tambahan 500MW daripada lima LSSP. TNB merancang untuk memasang HHFS sehingga kapasiti 230MW di loji hidro Temenggor dan Chenderoh menjelang 2025, dan syarikat sedang meneroka projek solar di atas tanah dengan kapasiti 100MW di Perak.
Jelas beliau, TNB komited untuk memacu pertumbuhan dan mencapai sasaran sifar bersih, berpandukan Pelan Peralihan Tenaga.
“Dengan memberi tumpuan kepada tonggak tumpuan strategik kami – Sumber Tenaga, Vektor Tenaga dan Penggunaan Tenaga, kami menyasarkan untuk menyampaikan penjanaan tenaga bersih, membangunkan rangkaian peralihan tenaga serta mempromosikan solusi tenaga dinamik.
“Pada 2023, sistem minit penghantaran kami dikekalkan pada 0.48 dan loji janakuasa merekodkan faktor ketersediaan kukuh 83.3 peratus sepanjang 2023, mempamerkan daya tahan dan kecekapan kami.
“Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) mencapai rekod tertinggi 88 peratus dilengkapi dengan Skor Indeks Pengalaman Pelanggan (CEI) lebih 90 peratus merentasi semua platform, sekali gus mencerminkan dedikasi kami untuk menyediakan perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang luar biasa,” katanya.
Megat Jalaluddin berkata, selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), TNB telah memperkukuh struktur tadbir urusnya sejajar komitmen terhadap kelestarian dan amalan korporat yang bertanggungjawab.
“Memperteguh tadbir urus dalam konteks ESG adalah bukti dedikasi kami terhadap amalan mampan. Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan terus memaksimumkan kecekapan dan keberkesanan operasi, serta komitmen kami terhadap kelestarian. Oleh itu, kami yakin bahawa kami dapat mencapai objektif untuk tahun 2024,” katanya. – UTUSAN