PETALING JAYA: Indeks Permintaan Jualan PropertyGuru Malaysia menurun 1.1 peratus pada suku pertama 2024 namun masih stabil berikutan penurunan hanya disebabkan faktor bermusim seperti perayaan Tahun Baharu Cina.
Laporan Pasaran Hartanah Malaysia (MPMR) suku pertama 2024 juga menunjukkan dari segi harga perumahan, Indeks Harga Jualan mencatatkan peningkatan suku ke suku yang menggalakkan sebanyak 1.4 peratus.
Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh berkata, walaupun laporan menunjukkan penurunan permintaan disebabkan trend musim perayaan, pembangunan infrastruktur memberi pengaruh positif kepada dinamik pasaran hartanah dalam subpasaran tertentu.
Sebagai contoh, ujarnya, hartanah kediaman di Johor mencatatkan peningkatan 2.0 peratus dalam Indeks Permintaan Jualan disebabkan projek Rapid Transit System (RTS) yang berfungsi sebagai pemangkin dalam meningkatkan permintaan hartanah di kawasan sekitarnya.
“Di masa hadapan, pembangunan seperti ini akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk permintaan hartanah dengan mempengaruhi peluang pembangunan dan pekerjaan di kawasan sekeliling.
“Oleh itu, ia penting untuk mempertimbangkan pengaruh-pengaruh ini ketika menganalisis trend pasaran dan membuat keputusan pelaburan,” katanya dalam laporan.
Tegas beliau, penurunam bermusim dalam permintaan dan bekalan perumahan mencerminkan pelarasan bermusim dan bukan kerana isu ekonomi.
“Dalam situasi ketidakpastian yang berterusan seperti peningkatan ketegangan geopolitik dan kemerosotan ekonomi, pencari hartanah telah menyesuaikan jangkaan perumahan mereka dengan sewajarnya.
“Hal ini menunjukkan pasaran berada pada kedudukan yang stabil, mengekalkan kebolehannya untuk beroperasi dengan berkesan dan menyumbang kepada pasaran hartanah yang lebih sihat, jika tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kenneth memaklumkan, sama seperti pasaran Jualan, Indeks Permintaan Sewa untuk hartanah kediaman mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus suku ke suku disebabkan musim perayaan yang biasanya menjejaskan aktiviti penyewaan pada awal tahun.
“Indeks Bekalan Sewa pula menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun yang ketara sebanyak 31.3 peratus, walaupun terdapat penurunan 1.8 peratus dari suku sebelumnya.
“Walaupun angka permintaan dan bekalan menunjukkan satu tempoh penyesuaian, daya tahan pasaran dan situasi anjakan tersebut memberikan pandangan optimis yang berhati-hati,” ujarnya. – UTUSAN










