Penggabungan: MIDF semak turun saranan Axiata kepada ‘jual’ - Utusan Malaysia

Penggabungan: MIDF semak turun saranan Axiata kepada ‘jual’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Investment Bank Bhd. menyemak turun saranan untuk Axiata Group Bhd. (Axiata) kepada ‘jual’ daripada ‘neutral’ sebelum ini, susulan laporan mengenai potensi penggabungan antara XL Axiata dan PT Smartfren Telecom.

Bagaimanapun, bank pelaburan mengekalkan harga saranan (TP) sebanyak RM2.42.

“Walaupun urus niaga itu mungkin mengukuhkan bahagian pasaran pelanggan XL Axiata, kebimbangan terkini kami adalah mengenai kedudukan Smartfren yang merugikan.

“Selain itu, sekiranya pembiayaan melibatkan wang tunai, ia akan membebankan lagi kunci kira-kira kumpulan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut laporan media, Axiata Group dan PT Sinar Mas telah meminta kebenaran daripada Kerajaan Indonesia untuk menggabungkan unit telco mereka.

Sebelum ini, Bloomberg telah melaporkan penggabungan yang dirancang akan mewujudkan entiti bernilai AS$3.5 bilion atau RM16.6 bilion.

“Kami tidak terkejut sepenuhnya dengan perkembangan itu. Kami mendapati bahawa Axiata dan PT Sinar Mas telah berbincang mengenai penggabungan itu sejak 2021.

Pada masa ini, XL Axiata adalah syarikat telekomunikasi ketiga terbesar di Indonesia dengan 58 juta pelanggan, manakala Smartfren pula mempunyai kira-kira 36 juta pelanggan. Sekiranya penggabungan itu berlaku, pangkalan pelanggan XL Axiata akan meningkat kepada 94 juta.

“Walau bagaimanapun, ini tidak mencukupi untuk menyingkirkan dua syarikat telekomunikasi terbesar di negara ini iaitu Telkomsel (153 juta pelanggan) dan Indosat (100 juta pelanggan),” ujarnya.

Bank pelaburan berkata, walaupun XL Axiata membuat keuntungan, Smartfren pula mencatatkan kerugian berdasarkan laporan tahunan 2023 kumpulan itu yang mengalami kerugian bersih sebanyak 108.9 bilion rupiah (RM32.2 juta).

“Ini berpotensi menjejaskan keuntungan XL Axiata, terutamanya dalam tempoh terdekat. Oleh itu, kami melihat bahawa penggabungan yang dijangkakan dengan Smartfren akan mewujudkan lebih banyak tekanan kepada pihak pengurusan untuk meningkatkan keuntungan XL Axiata.

“Kami mengekalkan unjuran keuntungan kami ketika ini sementara menunggu pengumuman mengenai urus niaga tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×