Axiata, PT Sinar Mas mohon kelulusan penggabungan dari kerajaan Indonesia - Utusan Malaysia

Axiata, PT Sinar Mas mohon kelulusan penggabungan dari kerajaan Indonesia

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Konglomerat Malaysia, Axiata Group (Axiata) dan kumpulan Indonesia, PT Sinar Mas telah meminta kebenaran daripada kerajaan Indonesia untuk menggabungkan unit telco mereka, kata menteri komunikasi kepada Reuters pada Rabu.

Budi Arie Setiadi dalam temu bual berkata, penggabungan yang dirancang mereka adalah unit Indonesia, PT XL Axiata dan PT Smartfren Telecom akan terus menyatukan syarikat dalam sektor telekomunikasi kepada hanya tiga pemain besar.

Bloomberg sebelum ini melaporkan rancangan penggabungan untuk mewujudkan entiti AS$3.5 bilion (RM16.6 bilion), memetik sumber yang mengetahui tentang perkara itu.

“Kedua-dua syarikat masih dalam perbincangan untuk melakukan penggabungan itu.

“Saya sebagai pengawal selia menyokong rancangan ini supaya ekosistem telekomunikasi Indonesia menjadi lebih sihat,” kata Budi yang menjangkakan perjanjian tersebut boleh dicapai pada tahun ini.

Budi berkata, eksekutif daripada kedua-dua XL Axiata dan Smartfren mengadakan beberapa pertemuan dengannya dan mereka menyebut rancangan penggabungan itu, termasuk pada mesyuarat di Sepanyol pada akhir Februari.

“Lebih baik ada tiga operator sahaja di Indonesia, lebih terurus. Selepas itu, kami boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Sebagai respon kepada komen menteri itu, Pengarah Presiden Smartfren, Merza Fachys memberitahu Reuters bahawa pemegang saham akan mempunyai kata putus mengenai penggabungan itu.

Menurutnya, penggabungan itu adalah peluang untuk meningkatkan kesihatan industri telekomunikasi.

Jurucakap XL Axiata, Henry Wijayanto berkata, firma itu sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama strategik dengan pihak lain.

Unit gabungan itu akan bersaing untuk pelanggan dengan peneraju pasaran PT Telekomunikasi Selular (Telkomsel), sekutu Telekomunikasi Singapura (Singtel) dan Indosat Ooredoo Hutchison, unit Ooredoo Qatar dan CK Hutchison Hong Kong.

XL Axiata kini merupakan pengendali telekomunikasi ketiga terbesar di Indonesia, melayani 58 juta pelanggan, diikuti oleh Smartfren yang mempunyai 32 juta pengguna. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×