Nilai ringgit kompetitif dan destinasi menarik, tarik pelancong

Nilai ringgit kompetitif dan destinasi menarik, tarik pelancong ke Malaysia

FIRMA penyelidikan unjur naik KNDK 2024 Malaysia hingga 5.0 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai ringgit yang dianggap kompetitif, destinasi pelancongan menarik, suasana negara yang aman akan menarik lebih banyak para pelancong untuk datang ke Malaysia, kata pakar ekonomi.

Selain itu, pelancongan juga dijangka akan terus menyokong ekonomi berikutan ramai rakyat Malaysia yang akan memilih untuk melancong di dalam negara disebabkan kos yang agak tinggi untuk melancong ke luar negara.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, aktiviti industri pelancongan sememangnya mempunyai kesan limpahan yang positif terhadap ekonomi tempatan. 

“Pada 2019, jumlah hasil pelancong yang datang ke negara kita adalah RM86.1 billion. 

“Daripada jumlah itu, pelancong asing berbelanja 33.6 peratus untuk tujuan membeli belah, 24 peratus untuk penginapan, 13.3 peratus untuk makanan dan minuman, 7.6 peratus untuk pengangkutan dan 6.3 peratus untuk pakej pelancongan. 

“Justeru, ia mempunyai kesan limpahan secara langsung kepada ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berkata, kemasukan pelancong asing yang terdiri daripada beberapa buah negara utama seperti China, Singapura, India membawa aliran masuk limpahan ekonomi kepada negara. 

Katanya, kehadiran pelancong asing ke dalam negara akan merangsangkan permintaan terhadap ringgit dan akan meningkatkan permintaan serta penawaran ringgit dalam pasaran tempatan.

“Selain itu, perkembangan ini turut menyebabkan sektor perhotelan di Malaysia mengalami pertumbuhan yang positif. 

“Malah, kawasan atau negeri yang mempunyai pusat pelancongan yang menarik turut terkena tempias apabila ekonomi tempatan dikawasan setempat pelancongan turut berkembang kerana wujudkan aktiviti penjualan dan pembelian barangan serta makanan dan minuman,” katanya. 

Bagaimanapun, Mohd. Faisol berkata, disebalik peningkatan kemasukan pelancong asing ke dalam negara, penguatkuasaan undang-undang berkaitan visa dan passport, imigresen dan polis juga perlu diperkasakan.

“Supaya kemasukan pelancong asing yang semakin bertambah ke dalam negara tidak menimbulkan masalah lain yang melibatkan isu sosial, pasport dan pelancong asing yang pulang kembali ke negara asal mereka,” katanya. 

Kelmarin, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy berkata, sejumlah  5.8 juta pelancong asing ke Malaysia pada suku pertama tahun ini  berjaya menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan sektor pelancongan negara.

Jelasnya, peningkatan positif pelancong asing itu menunjukkan pertumbuhan 32.5 peratus daripada tahun sebelumnya yang hanya memperoleh RM4.3 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×