MV OOCL Japan kapal kontena terbesar berlabuh di Northport - Utusan Malaysia

MV OOCL Japan kapal kontena terbesar berlabuh di Northport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) meraikan kejayaan bersejarah dengan kehadiran kapal MV OOCL Japan, kapal kontena terbesar yang berlabuh di terminalnya pada 20 Mei lalu.

MV OOCL dimiliki oleh Orient Overseas Container Line (OOCL) Limited, yang mempunyai kapasiti sebanyak 21,413 unit bersamaan 20 kaki (TEU), telah mencipta rekod baharu buat Northport setelah mengatasi rekod persinggahan kapal terbesar sebelum ini di pelabuhannya iaitu kapal Eugen Maersk yang berkapasiti 11,000 TEU pada 2013.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, peristiwa monumental ini adalah bukti keupayaan Northport mengendalikan kapal-kapal kontena bersaiz ultra besar, serta mencerminkan komitmennya terhadap pertumbuhan dan kecemerlangan dalam sektor logistik maritim.

“Pencapaian bersejarah ini adalah hasil daripada usaha berterusan kami dalam meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan sebagai sebahagian daripada inisiatif Reinventing Northport, bagi memastikan pelabuhan berusia 61 tahun ini kekal relevan dan berdaya saing.

“Keupayaan untuk menjadi persinggahan kapal sebesar ini adalah bukti keupayaan dan kesediaan Northport untuk mengendalikan permintaan perdagangan maritim antarabangsa yang terus berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azman Shah, ketibaan kapal MV OOCL Japan amat signifikan kerana ia merupakan peningkatan besar daripada kapal kontena pertama yang berlabuh di Northport, Pelabuhan Klang, iaitu kapal MV Tokyo Bay.

Dengan kapasiti 3,000 TEU, kapal MV Tokyo Bay merupakan kapal kontena penuh generasi ketiga pertama di dunia yang singgah di Pelabuhan Klang pada 5 Ogos 1973, menandakan permulaan operasi kontena di Malaysia.

Sejak itu, Northport telah mengendalikan kapal yang semakin besar kapasitinya sejak lima dekad yang lalu, sehinggalah tibanya kapal MV OOCL Japan.

Dibina pada 2017 dan kini berlayar di bawah bendera Hong Kong, kapal MV OOCL Japan dilengkapi teknologi terkini dan kejuruteraan moden.

Dengan kepanjangan 400 meter dan lebar 59 meter, ia merupakan salah sebuah kapal kontena terbesar di dunia dan memiliki kecekapan bahan api yang dipertingkatkan dan reka bentuk mesra alam dengan pengurangan pelepasan karbon yang signifikan.

Ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi dan keselamatan yang canggih untuk memastikan pelayaran yang lancar dan selamat.

Kapal tersebut kini beroperasi di bawah Perkhidmatan LL3 OOCL yang menghubungkan laluan perairan Zeebrugge, Hamburg, Rotterdam, Pelabuhan Klang, Hong Kong, Nansha, Xiamen, Qingdao.

Dalam pada itu, syarikat telah membeli enam buah kren dermaga ZPMC baharu untuk operasi kontenanya pada awal 2019.

Azman Shah berkata, pemerolehan ini membolehkan Northport mengendalikan kapal yang lebih besar dengan lebih cekap serta meningkatkan produktiviti terminal keseluruhan daripada 25 mph (pergerakan sejam) kepada 28 mph.

“Segala projek penambahbaikan dan pembangunan pelabuhan ini telah meningkatkan kecekapan operasi Northport dengan ketara.

“Hasilnya, lebih 80 peratus kapal yang singgah di Northport kini boleh terus berlabuh sejurus tiba (berth on arrival).Ini telah membawa kepada tahap produktiviti yang tinggi melebihi 28 mph secara konsisten dan pengendalian kontena yang lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh empat bulan pertama 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 1.06 juta TEU kontena, iaitu pertumbuhan sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Isu geopolitik di rantau Laut Merah telah menyebabkan gangguan kepada perdagangan dunia kerana syarikat-syarikat perkapalan menghadapi masalah kelewatan akibat perubahan laluan perkhidmatan perkapalan.

“Ini telah menyebabkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan utama lain di rantau ini. Kami telah menerima lebih daripada 50 persinggahan kapal secara ad-hoc pada tahun ini disebabkan oleh produktiviti yang lebih baik dan tawaran nilai berth on arrival,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya