Lebihan akaun semasa negara melonjak kepada RM16.2 bilion - Utusan Malaysia

Lebihan akaun semasa negara melonjak kepada RM16.2 bilion

MOHD UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebihan imbangan akaun semasa (CAB) negara melonjak kepada RM16.2 bilion pada suku pertama 2024, membentuk 3.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh akaun pendapatan dan barangan.

“Lebihan akaun barangan meningkat kepada RM32 bilion pada suku pertama itu.

“Akaun perkhidmatan merekodkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM7.3 bilion, terutamanya didorong oleh defisit yang lebih rendah dalam telekomunikasi, komputer dan perkhidmatan maklumat dan lebihan tinggi dalam perkhidmatan pembuatan dan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kedudukan akaun semasa negara pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2024 di sini semalam.

Jelas beliau, akaun pendapatan utama menunjukkan defisit yang lebih kecil iaitu RM8.8 bilion berikutan pendapatan yang lebih tinggi daripada pinjaman dan deposit di luar negara serta keuntungan terakru lebih rendah kepada pelabur asing di Malaysia.

“Defisit pendapatan sekunder bertukar menjadi lebihan pada suku itu.

“Dari segi pelaburan, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM5.5 bilion berikutan suntikan ekuiti dan pemulihan dalam pendapatan pelaburan semula,” ujarnya.

Menurutnya, aliran masuk FDI terutamanya disalurkan kepada perkhidmatan diikuti sektor perlombongan dan kuari manakala sumber FDI utama ialah Hong Kong, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.

“Dalam pada itu, pelaburan langsung ke luar negara (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM11.5 bilion. Sektor utama ialah perkhidmatan, diikuti oleh perlombongan dan kuari dan pembinaan.

“Singapura, Indonesia dan Kepulauan Cayman adalah destinasi utama DIA,” katanya.

Pada akhir suku tahun pertama 2024, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia (IIP) mencatatkan aset bersih lebih tinggi sebanyak RM157.1 bilion.

Jumlah kedudukan aset kewangan bernilai RM2.50 trilion, manakala jumlah liabiliti ialah RM2.35 trilion.

Kedudukan pelaburan terkumpul untuk FDI dan DIA masing-masing merekodkan RM938.0 bilion dan RM683.6 bilion.

Asia merupakan rantau utama untuk kedudukan FDI dengan RM517.6 bilion, terutamanya dari Singapura dan Hong Kong.

Begitu juga, Asia turut memegang kedudukan terbesar bagi DIA pada RM383.3 bilion, terutamanya ke Singapura dan Indonesia.

Rizab Antarabangsa Malaysia berada pada RM538.9 bilion.

– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya