Konsortium Khazanah, KWSP ambil alih MAHB - Utusan Malaysia

Konsortium Khazanah, KWSP ambil alih MAHB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gateway Development Alliance dan para pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang belum dimiliki pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham.

Konsortium tersebut diterajui Khazanah Nasional Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Berhad (UEMG) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta dianggotai  anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP).

Sehingga 14 Mei lalu, yang merupakan tarikh terakhir yang boleh dilaksanakan sebelum pengumuman ini, Konsortium dan syarikat induk masing-masing secara agregat memiliki 41.1 peratus saham MAHB yang diterbitkan.

Apabila tawaran ini selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Secara kolektif, para pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB manakala ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus saham.

Menurut kenyataan, Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif akan terus dilantik dalam kalangan warga tempatan.

“Dengan memfokuskan kepada penyelenggaraan dan menaik taraf infrastuktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik keterhubungan syarikat penerbangan, ia akan menyokong pertumbuhan penumpang dan kargo udara. 

“Ini secara langsung akan memberikan manfaat ekonomi yang mampan bukan sahaja buat MAHB dan pihak berkepentingannya, tetapi juga bagi sektor-sektor perindustrian dan pelancongan di Malaysia dan Türkiye,” katanya dalam kenyataan.

Tawaran rasmi ke atas MAHB adalah tertakluk kepada beberapa pra-syarat tertentu dan apabila dilaksanakan, akan tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 90 peratus modal saham diterbitkan MAHB oleh Konsortium. 

Konsortium percaya cara terbaik untuk mencapai objektif ini adalah dengan menyahsenaraikan MAHB bagi menggalakkan pendekatan jangka masa panjang dalam sebarang keputusan serta pelaburan modal yang dibuat, di samping menerima manfaat daripada kepakaran teknikal antarabangsa. 

Mengulas pengumuman tersebut, Pengarah Urusan Khazanah, DatUK Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Malaysia berada di kedudukan yang strategik dalam pasaran penerbangan Asia Tenggara yang berkembang pesat dan mempunyai potensi untuk memperkasakan rangkaian jarak jauh dan serantaunya. 

“Kami optimis bahawa usaha bersama kakitangan MAHB yang berdedikasi dan kepakaran bersama yang dibawa oleh Konsortium dapat menjadi pemangkin buat MAHB untuk menjadi pengendali lapangan terbang antarabangsa terkemuka dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi rangkaian lapangan terbangnya, selari dengan aspirasi Khazanah untuk Memajukan Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP,  Ahmad Zulqarnain Onn berkata, KWSP melihat tawaran sebagai satu peluang pelaburan yang selari dengan objektif pelaburan serta komitmennya untuk meningkatkan pelaburan tempatan. 

“Sebagai komponen utama infrastruktur negara, MAHB berperanan penting sebagai pintu masuk bagi perdagangan, pelancongan dan aktiviti perniagaan, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pembangunan dan kemakmuran ekonomi. 

“Kami mengharapkan kejayaan perkongsian strategik ini dapat memberikan pengalaman ‘best-in-class’ di lapangan terbang untuk orang awam, rakan kongsi syarikat penerbangan serta kakitangan MAHB.

Kami menjangka pelaburan ini akan membawa manfaat positif kepada pencarum KWSP dan masyarakat umum, justeru menjayakan agenda pertumbuhan mampan Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya