KHSB tawar perumahan mampu milik Lagenda Ardea

KHSB tawar perumahan mampu milik Lagenda Ardea

LAGENDA Ardea merangkumi sejumlah 2,340 unit rumah teres setingkat yang akan dibangunkan dalam tiga fasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUMPULAN Hartanah Selangor Berhad (KHSB) menawarkan projek perumahan baharu, Lagenda Ardea, di Bernam Jaya, Selangor yang merupakan perumahan mampu milik di bawah skim Rumah Selangorku. 

Projek ini akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 77.29 hektar dan dijangka siap pada 2027.

Lagenda Ardea merangkumi sejumlah 2,340 unit rumah teres setingkat yang akan dibangunkan dalam tiga fasa. 

Setiap rumah mempunyai keluasan tanah seluas 1.85×6.03 meter persegi dan keluasan bangunan adalah 1.85×4.18 meter persegi. 

Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Rahana Abdullah berkata, pembangunan unit perumahan seluas 77 hektar di Bernam Jaya itu merupakan kerjasama dengan syarikat pemaju, Lagenda Properties Berhad.

Sehingga kini, sebanyak 60 peratus pembeli berdaftar bagi fasa pertama untuk 831 unit rumah. 

“Disebabkan projek ini adalah di bawah Rumah Selangorku, kelulusan adalah tertakluk kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). 

“Ini menunjukkan komitmen penuh kami untuk memenuhi permintaan perumahan yang semakin meningkat.

“Kita bukan sahaja akan membangunkan struktur bangunan, tetapi bertekad untuk menjadikan Lagenda Ardea sebuah komuniti yang mampan dan boleh didiami,” katanya sempena majlis pecah tanah Rumah Selangorku Lagenda Ardea, baru-baru ini. 

Fasa pertama Lagenda Ardea melibatkan pembangunan 831 rumah teres satu tingkat yang terdiri daripada tiga bilik dan dua bilik air. 

Permohonan boleh dibuat di laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di bawah Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Selangorku.

Lagenda Ardea bakal memberi manfaat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan juga golongan berpendapatan sederhana (M40) yang menetap atau bekerja di Selangor.

Terletak berdekatan sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Kalumpang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalumpang, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kalumpang, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kalumpang, SMK Khir Johari. 

Projek ini juga terletak berdekatan beberapa institusi pengajian awam seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Politeknik Sultan Azlan Shah. 

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan seperti Klinik Kesihatan Kalumpang , Klinik Kesihatan Ulu Bernam dan Hospital Kuala Kubu Bharu serta kemudahan pengangkutan awam kereta api ETS Komuter KTM Tanjung Malim. 

Lokasi perumahan tersebut mempunyai akses lebuh raya yang baik termasuk Lebuhraya Utara Selatan melalui susur keluar 121 Tanjung Malim 2 dan Jalan Persekutuan Tanjung Malim-Kuala Kubu Bharu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN