KDNK suku pertama dijangka 4.0 hingga 4.2 peratus - Utusan Malaysia

KDNK suku pertama dijangka 4.0 hingga 4.2 peratus

MALAYSIA dijangka capai KDNK suku pertama antara 4.0 hingga 4.2 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 yang akan diumumkan Jumaat ini dijangka mencapai paras 4.0 peratus hingga 4.2 peratus, sekali gus mengatasi jangkaan awal 3.9 peratus yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi adalah perbelanjaan swasta.

Katanya, pasaran buruh yang kekal stabil dengan kadar pengangguran yang rendah 3.3 peratus bermaksud ramai rakyat Malaysia yang mempunyai pekerjaan dan menerima pendapatan.

“Ia turut disokong data seperti perdagangan runcit terus meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM62.8 billion pada Mac berbanding pertumbuhan 5.8 peratus pada bulan sebelumnya.

“Selain itu, sektor luaran juga dijangka membantu dengan sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 2.1 peratus pada suku pertama setelah berada di paras negatif bagi suku ketiga dan keempat tahun lalu, berdasarkan pecahan data Indeks Pengeluaran Industri (IPI),” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor lain seperti pembinaan, pertanian dan perlombongan juga mencatatkan bacaan yang baik pada suku pertama.

“Jumlah kerja yang disiapkan bagi sektor pembinaan meningkat sebanyak 14.2 peratus pada suku pertama berbanding 6.8 peratus pada suku ke empat 2023.

“Pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) juga meningkat 3.4 peratus pada suku pertama berbanding 3.2 peratus suku keempat 2023 manakala sektor perlombongan meningkat kepada 5.9 peratus daripada 3.7 peratus sebelum ini,” katanya.

Bagi Professor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, jangkaan KDNK berada pada 4.0 peratus disebabkan tanda positif dalam beberapa sektor utama.

Katanya, sektor utama yang telah menunjukkan prestasi baik termasuk indeks pengeluaran industri, indeks perkhidmatan serta indeks pembinaan.

“Selain itu, faktor penyumbang termasuk eksport minyak kelapa sawit yang tinggi dan harga minyak petroleum juga mencecah hampir AS$90 setong (RM425.38).
“Malah, negara China juga telah menunjukkan perkembangan ekonomi yang positif, sekali gus memberikan kelebihan kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Jelas Mustafa, beliau melihat keadaan ekonomi domestik Malaysia cukup kuat dengan adanya banyak permintaan sempena musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan perbelanjaan pada bulan Ramadan.

“Saya melihat kadar inflasi negara rendah iaitu kurang dua peratus dan kadar faedah juga tidak dinaikkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Jadi, pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama boleh mencapai 4.0 peratus,” ujarnya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2024 kepada 3.9 peratus tahun ke tahun.

“Jangkaan ini sepadan dengan unjuran awal Jabatan Perangkaan dan ramalan median konsensus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya