PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Berhad (KIBB) menjangkakan kadar pengangguran bakal mengalami penurunan pada separuh kedua 2024, berikutan rekod pengangguran pada Mac yang kekal stabil pada 3.3 peratus.
Firma penyelidikan berkata, kadar pengangguran kekal tidak berubah pada bulan tersebut, yang mana pada Februari juga mencatatkan peratus yang sama untuk bulan kelima berturut-turut, sepadan dengan tahap sebelum pandemik.
“Angka pengangguran turun 0.1 peratus bulan ke bulan, sekali gus melanjutkan trend penurunan berterusan selama 32 bulan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Kata firma penyelidikan itu, kadar pengangguran yang dilihat semakin stabil pada tempoh 32 bulan itu, susulan pertumbuhan guna tenaga yang berkembang walaupun pada kadar yang lebih perlahan, 0.1 peratus bulan ke bulan.
“Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, kebanyakan sektor mencatatkan peningkatan dalam bilangan orang yang bekerja.
“Khususnya bagi sektor perkhidmatan, perolehan pekerjaan dicatatkan dalam perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman, serta aktiviti maklumat dan komunikasi.
“Kenaikan bilangan pekerja 0.1 bulan ke bulan secara berterusan namun pertumbuhan buruh mengecil sedikit kepada 75.1 daripada keseluruhan guna tenaga,” ujarnya.
Selain itu, pertumbuhan bagi majikan, iaitu 0.5 peratus bulan ke bulan berkembang ke paras tertinggi sejak Disember 2023, manakala pekerja keluarga tidak bergaji menurun 0.1 peratus.
“Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada rekod tertinggi iaitu 70.3 peratus apabila jumlah tenaga buruh meningkat sedikit lebih tinggi daripada jumlah penduduk umur bekerja.
KIBB berkata, tenaga buruh menunjukkan pertumbuhan yang mampan, 0.14 peratus bulan ke bulan dengan jumlah tenaga buruh berkembang sebanyak 23.8 ribu orang berbanding bulan sebelumnya iaitu 24.8 ribu
Peningkatan itu, sekali gus mencatatkan pencapaian rekod tertinggi 17.1 juta orang bagi pertumbuhan tenaga buruh negara ini.
Kadar pengangguran yang masih kekal di bawah 4.0 peratus dalam kalangan ekonomi maju, mencerminkan pasaran buruh juga kian bertambah baik.
Kata firma penyelidikan itu, pengambilan pekerja kekal positif akan mendorong pasaran buruh kekal stabil sepanjang tahun 2024.
“Ini terutamanya disebabkan oleh jangkaan pengembangan berterusan dalam aktiviti ekonomi yang diterajui oleh sektor perkhidmatan yang didorong oleh permintaan domestik berdaya tahan.
“Justeru, kami mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dasar Negara Kasar (KDNK) berkembang kepada 4.5 peratus hingga 5.0 peratus pada 2024, berbanding 3.7 peratus pada 2023,” katanya.
Sementara itu, pemulihan pembuatan dijangka mengukuh menjelang akhir tahun, didorong oleh jangkaan kitaran naik teknologi dan permintaan perdagangan luar yang bertambah baik di tengah-tengah pemulihan beransur-ansur China.
Kemajuan realisasi pelaburan diluluskan yang direkodkan tahun lepas pada RM329.5 bilion juga berkemungkinan akan meningkatkan aktiviti pengambilan pekerja pada bulan-bulan akan datang.-UTUSAN










