PETALING JAYA: Sejumlah 8.94 juta jawatan dicatatkan pada suku pertama 2024, rekod tertinggi sejak 2018, berdasarkan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Pertama 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah jawatan meningkat sebanyak 1.5 peratus atau bersamaan dengan 131,700 tahun ke tahun pada suku pertama 2024 berbanding 8.81 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan ini menunjukkan permintaan buruh di Malaysia dijangka semakin menggalakkan, selari dengan ekonomi negara yang diramalkan akan berkembang pada kadar yang lebih cepat iaitu dari empat hingga lima peratus berikutan permintaan luar dan pelaburan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai situasi jawatan mengikut aktiviti ekonomi, beliau berkata, bilangan jawatan diisi berada pada trend menaik dengan prestasi tahun ke tahun meningkat sebanyak 1.5 peratus daripada 8.61 juta pada suku pertama 2023 kepada 8.75 juta pada suku sama 2024.
Katanya, bilangan kekosongan jawatan pada suku tahun ini terus berada pada trend menurun, dengan penurunan marginal sebanyak 0.4 peratus kepada 191,900 kekosongan jawatan (suku pertama 2023: 192,600).
“Namun, kadar jawatan diisi kekal tinggi seperti suku tahun sebelumnya pada 97.9 peratus, manakala kadar kekosongan jawatan adalah sebanyak 2.1 peratus.
“Selain itu, bilangan pewujudan jawatan pada suku pertama tahun ini juga meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 32,100 berbanding 31,700 pada suku sama 2023,” ujarnya.
Mohd Uzir berkata, bilangan jawatan diisi kekal stabil selari dengan perkembangan situasi ekonomi semasa yang turut digambarkan oleh pertumbuhan tahun ke tahun yang positif dalam semua sektor ekonomi pada suku tahun ini.
Jelasnya, sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada 4.0 peratus, diikuti perkhidmatan (1.8 peratus) dan pembuatan (1.1 peratus).
“Berdasarkan perincian jawatan diisi mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan merupakan komposisi terbesar yang merangkumi 52.7 peratus atau bersamaan dengan 4.61 juta, diikuti oleh pembuatan (26.9 peratus; 2.35 juta) dan pembinaan (14.2 peratus; 1.24 juta).
“Daripada jumlah jawatan diisi, kategori separuh mahir mendahului dengan 5.48 juta jawatan (62.7 peratus), diikuti oleh mahir dengan 2.19 juta (25.1peratus) dan berkemahiran rendah dengan 1.07 juta (12.2 peratus),” jelasnya.
Mengulas mengenai kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, beliau menambah, kekosongan jawatan pada suku tahun ini susut sebanyak 0.4 peratus tahun ke tahun dengan mencatatkan sebanyak 191,900 kekosongan jawatan berbanding 192,600 pada suku sama 2023.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat 32,100 pewujudan jawatan pada suku tahun ini, meningkat sebanyak 1.3 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 61.9 peratus dengan 19,900, diikuti oleh mahir dan berkemahiran rendah masing-masing pada kadar 27.6 peratus (8,900) dan 10.5 peratus (3,400).
“Momentum positif bagi semua indikator dalam permintaan buruh pada suku tahun ini menunjukkan prestasi sektor ekonomi yang semakin menggalakkan.
“Memandang ke hadapan, prestasi pasaran buruh diharap terus kekal positif, dengan sokongan oleh pelbagai inisiatif berkaitan buruh seperti inisiatif Bina Kerjaya dan Sokongan Pekerjaan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024,” ujarnya. – UTUSAN










