PETALING JAYA: Pihak industri disarankan menerima penggunaan kecerdasan buatan (AI) terutama pengaplikasian Chat GPT dalam menguruskan perakaunan yang diyakini bakal mendorong keberkesanan pentafsiran data yang tepat.
Dekan Eksekutif Fakulti Inovasi dan Teknologi Taylor’s University, Prof. Dr. David Asirvatham berkata, penggunaan AI dapat menganalisis data yang lebih kompleks termasuk mengesan trend data terkini yang mungkin terlepas pandang jika menggunakan tenaga manusia.
Menurutnya, bidang perakaunan merupakan suatu pekerjaan yang berisiko, tambahan pula proses audit yang dilakukan secara tradisional sebelum ini mungkin mempunyai banyak kesilapan data dan analisis.
“Sekiranya, sesebuah syarikat cuba menggabungkan tenaga kerja manusia dalam bidang ini dengan mengaplikasikan penggunaan AI, ia diyakini dapat meningkatkan produktiviti bagi segala proses berkaitan bidang tersebut.
“Namun, ini tidak bermakna ia akan menggantikan tugas perakaunan sepenuhnya, sebaliknya 90 peratus daripada skop pekerjaan perakaunan akan bertukar pada masa depan dengan adanya bantuan AI,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbincangan ‘Pemerkasaan Digital: Inovasi untuk Pertumbuhan Mampan dan Kepimpinan Masa Depan’ sempena Pameran Teknologi Perakaunan & Kewangan MIA 2024 (MIA AFT) anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA), di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIA Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak berkata, apabila AI mengambil alih dunia, akan ada tumpuan yang kuat terhadap implikasi AI generatif dan kesan prospektifnya terhadap kewangan dan perakaunan.
“Dengan e-Invois ditetapkan untuk mengubah landskap perniagaan dan percukaian, MIA AFT 2024 menampilkan pelbagai topik e-Invois, termasuk penggunaan AI, Cloud, omnichannel, data dan penyelesaian automasi proses perniagaan untuk e-Invois yang cekap, dan melihat prospek berikutan mandat e-invois.
Dalam pada itu,Pengarah Eksekutif Kelestarian Ekonomi Digital dan Pelaporan MIA, Rasmimi Ramli berkata, penggunaan teknologi akan kekal sebagai pemacu utama transformasi perniagaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Dengan penggunaan teknologi, data besar, pengkomputeran awan dan AI menampilkan kemungkinan penggunaan yang tinggi.
“Pada masa sama, majikan menganggarkan sebanyak 44 peratus kemahiran pekerja akan terganggu dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Namun begitu, menurut kajian yang yang telah dilakukan, AI akan lebih memacu untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam tempoh tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










