PETALING JAYA: Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd. optimis menyelesaikan isu pemindahan kubur sepanjang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tanah Perkuburan Selat Klang pada hujung bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, setakat ini, pihaknya telah mendapat arahan agar menangguhkan sementara pembinaan sehingga 17 Mei ini.
“Secara ringkasnya, perbincangan (dengan waris) menjurus kepada bagaimana kita perlu memindahkan kubur tersebut, apa kaedah yang perlu dibuat dan tentunya kaedah-kaedah ini mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri Selangor yang telah kita perolehi sebelum ini.
“Sepatutnya tiada isu-isu yang berbangkit, tetapi kita faham dari segi sensitiviti dan keresahan yang ditimbulkan oleh waris-waris terlibat. Kita telah mendapat arahan untuk menangguhkan sementara sehingga 17 Mei ini.
“Dari segi garis panduan peraturan telah pun dimuktamadkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah pun kita telah dipatuhi dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri ECRL di sini.
Sebelum ini, media melaporkan 90 waris mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan hanya diberikan batu nisan saja sepanjang pembinaan ECRL di Tanah Perkuburan Selat Klang, Klang.
Kerja menggali dan memindah kubur ditangguh selama seminggu bagi memberikan ruang untuk proses pemakluman dan pendengaran maklum balas waris.
Jelas Darwis, kawasan pemindahan kubur baharu telah dikenal pasti dan berdekatan dengan tapak asal Tanah Perkuburan Selat Klang.
Dalam pada itu, Darwis menjelaskan, kemajuan keseluruhan ECRL yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sudah mencapai lebih 65.36 peratus manakala untuk Selangor adalah 26.34 peratus.
“Kita masih berada di landasan yang tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026 sekali gus membolehkan ECRL beroperasi pada Januari 2027,” katanya.
Beliau bagaimanapun turut memaklumkan, setakat ini, tiada sebarang penambahan kos dalam projek tersebut.
“Kita masih mengekalkan kos seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak iaitu dengan kos peruntukan bernilai RM50.27 bilion,” katanya.
Pembinaan projek ECRL merangkumi empat negeri bermula dari Kota Bharu sehingga ke Pelabuhan Klang sepanjang 665 kilometer (km) dan 20 stesen di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. – UTUSAN










