KUALA LUMPUR: Wahed Ventures di bawah jenama Wahed X Sdn. Bhd., platform pendanaan ramai ekuiti patuh syariah sepenuhnya menyasarkan menarik lebih AS$50 juta (RM237.3 juta) modal teroka dalam masa lima tahun yang akan membantu transformasi pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Pengasas Wahed, Junaid Wahedna berkata, platform ini direka untuk memupuk keusahawanan dan merangsang inovasi dengan menyediakan pengasas yang paling bijak dan terbaik dengan akses yang sangat diperlukan kepada modal.
Katanya, pelaburan yang akan ditawarkan pada Wahed Ventures distrukturkan untuk mematuhi prinsip syariah dengan menekankan sistem perkongsian risiko ganjaran yang seimbang antara pelabur dan pemilik perniagaan.
“Wahed Ventures telah diberikan kelulusan prinsip oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan pelabur kini boleh menyertai senarai menunggu untuk akses keutamaan kepada peluang pelaburan.
“Melalui platform ini, kami hanya boleh melabur syarikat di Malaysia. Bagaimanapun, kami boleh meraih pelaburan dari seluruh dunia.
“Jadi, dari segi pelaburan langsung asing (FDI), kami boleh menggunakan rangkaian global kami untuk meraih kewangan untuk ekonomi Malaysia,” beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran platform tersebut di KL20 Summit 2024 di sini, semalam.
Beliau berkata, perkhidmatan melalui platform tersebut dijangka dilancarkan pada Mei ini.
Jelasnya, sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2019, Wahed telah secara aktif mengukuhkan penyertaan runcit dalam pasaran modal di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Wahed Ventures membuka kelas aset baharu untuk pelabur ini, pada masa yang sama menyediakan peluang yang belum diterokai untuk perniagaan yang berpotensi.
“Kami sedang mencipta ekosistem yang memupuk perkongsian antara pelabur dan usahawan yang berkongsi nilai yang sama,” ujarnya.
Ditubuhkan pada 2015, Wahed ialah platform pelaburan Islam automatik pertama di dunia berpangkalan di New York yang direka untuk pelaburan patuh syariah dan beretika.
Wahed telah muncul sebagai peluang pemerkasaan kewangan untuk rakyat Malaysia yang kurang mendapat perkhidmatan.
Sebilangan besar pangkalan pengguna Wahed di Malaysia melebihi 300,000, hampir 85 peratus daripadanya berumur antara 18 dan 35 tahun dan tergolong dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40. – UTUSAN










