PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengunjurkan trafik penumpang udaranya untuk tahun ini berkisar antara 93.9 juta dan 107.1 juta penumpang, sekali gus kembali kepada tahap pra-pandemik.
Momentum pemulihan ini dibuktikan lebih lanjut dengan trafik penumpang Februari 2024 yang mencapai 95.4 peratus daripada jumlah trafik penumpang pada Februari 2019.
Menurut kenyataan, trafik penumpang udara pada Februari menunjukkan peningkatan permintaan perjalanan udara yang ketara apabila mencapai 8.1 juta penumpang berbanding 7.1 juta penumpang pada bulan sebelumnya.
Daripada jumlah 8.1 juta tersebut, 7.81 juta atau 96.5 peratus, merupakan trafik penumpang di semua lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), manakala baki 0.29 juta penumpang atau 3.6 peratus, mewakili pergerakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang dikendalikan oleh Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd.
“Data Suruhanjaya menunjukkan pertumbuhan bulan ke bulan serantau yang ketara, didahului dengan peningkatan trafik penumpang domestik sebanyak 20.4 peratus, iaitu dari 3.32 juta pada Januari ke 3.99 juta pada Februari 2024.
“Dalam pada itu, trafik penumpang antarabangsa menyaksikan kadar pertumbuhan bulan-ke-bulan yang positif sebanyak 5.9 peratus.
“Pertumbuhan ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk musim perayaan Tahun Baharu Cina, cuti sekolah selama sebulan dan pengecualian visa selama 30 hari bagi pelancong dari negara China dan India, yang secara kolektifnya telah merangsang permintaan perjalanan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, data semasa itu menunjukkan permintaan untuk perjalanan udara di Malaysia mungkin mencapai tahap pra-pandemik menjelang akhir tahun ini dan berpotensi untuk melepasinya pada 2025.
Bagaimanapun, katanya, kapasiti pesawat saat ini masih menjadi isu berbangkit berikutan gangguan rantaian bekalan, menyebabkan kelewatan dalam penghantaran pesawat.
“Oleh itu, adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk merancang rangkaian penerbangan mereka secara teliti dan memperuntukkan sumber mereka dengan cekap.
“Selain itu, pengendali lapangan terbang harus memastikan infrastruktur sedia ada mencukupi dan mampu menampung peningkatan permintaan untuk mengekalkan tahap kualiti perkhidmatan yang tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, bukan hanya sekadar penambahan angka, tetapi lonjakan perjalanan udara yang signifikan ini mencerminkan pemulihan kepercayaan pengguna terhadap perjalanan udara yang selamat dan kembalinya hasrat untuk berhubung, menekankan peranan penting sektor penerbangan dalam memudahkan bukan sahaja kecergasan ekonomi tetapi juga pembinaan semula ikatan.
“Sebagai pengawal selia, Mavcom mengambil perhatian atas perkembangan ini dan kekal komited dalam memastikan pertumbuhan sektor ini sejajar dengan keperluan rangka kerja perlindungan pengguna dan kualiti perkhidmatan yang teguh, serta pengawasan kawal selia suruhanjaya,” ujarnya. – UTUSAN










