PETALING JAYA: SME Bank menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) sebagai langkah dalam memperkembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira, Dr. Aria Putera Ismail berkata, SME Bank telah meluluskan lebih RM47 billion pembiayaan kepada 23,820 PKS sejak ditubuhkan dan RM560.74 juta diperuntukkan khususnya kepada usahawan di Johor.
Beliau berkata, SME Bank turut bantu meningkatkan aktiviti pelaburan dan penyertaan usahawan dengan menyediakan sumber perniagaan bagi industri minyak dan hiliran, petrokimia dan kimia.
“Dalam MoU ini, lebih daripada RM35 juta pembiayaan disediakan bagi menyokong 30 pelanggan dari prospektif vendor dari Pengerang, Johor dan Malaysia.
“Hal ini bertujuan untuk memperkembangkan perniagaan dan keusahawanan tempatan kepada wilayah lain yang berada di Johor,” katanya dalam kenyataan.
Pemangku Ketua Eksekutif JPDC, Izhar Hifnei Ismail berkata, sejak 2013 JPDC telah melaksanakan Program Kemahiran dalam Minyak dan Gas (SOGA) bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan kerja latihan.
Katanya, hampir 95 peratus daripada 7,000 tenaga kerja yang menyertai program tersebut berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor hiliran minyak dan gas, petrokimia, kimia dan tenaga di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).
Tambahnya, JPDC akan mencalonkan prospektif usahawan kepada SME Bank untuk membuat penilaian bagi penyertaan program latihan dan bimbingan bagi meningkatkan kecekapan perniagaan tempatan, usahawan dan kontraktor.
“Dengan kerjasama ini, ia dapat menyasarkan penyediaan PKS dengan kemahiran dan kecekapan pengurusan perniagaan dalam kapasiti yang besar bukan sahaja di malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” ujarnya.-UTUSAN










