PETALING JAYA: Silentmode Sdn. Bhd. dan Titan Cloud menandatangani perjanjian strategik dalam menawarkan penyelesaian pengoptimuman aset bahan api di Rantau asia.
Kerjasama itu menjadikan Silentmode sebagai rakan kongsi penyelesaian pengurusan bahan api inovatif Titan Cloud di Malaysia dan di seluruh Asia, manakala Titan Cloud akan mempromosikan penyelesaian RONPOS kepada rangkaian pelanggannya yang luas.
Ketua Pegawai Eksekutif Silentmode, Reza Razali berkata, kerjasama itu satu peluang kerana kecekapan teknologi Titan Cloud menjadi pelengkap kepada sistem RONPOS Silentmode yang mampu memberikan nilai tinggi kepada pelanggan sedia ada dan baharu.
“Penyelesaian RONPOS oleh Silentmode sudah terkemuka di Malaysia, di mana ia kini digunakan oleh kebanyakan syarikat minyak utama dan peruncit di seluruh negara.
“Ia turut menandakan komitmen tidak berbelah bahagi Silentmode dalam menawarkan teknologi bertaraf dunia yang mampu tingkatkan pengurusan runcit bahan api di seluruh Asia,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Reza, perjanjian mereka itu hanyalah langkah awal dan berharap dapat terus meneroka peluang untuk mempercepatkan pertumbuhan keduanya di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Presiden Antarabangsa Titan Cloud, Chris Cooper berkata, usaha sama itu mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran runcit bahan api Asia yang sedang berkembang pesat dan yakin peruncit bahan api tidak sabar menikmati kemajuan dibawa dari kerjasama itu.
“Dengan menggabungkan rangkaian Silentmode dengan platform pengurusan bahan api terkemuka Titan Cloud, kami akan mencipta penyelesaian kukuh untuk peruncit, menyelaraskan operasi, meminimumkan kerugian bahan api, serta meningkatkan keuntungan mereka,” ujarnya. – UTUSAN










