Pertumbuhan ekonomi Malaysia 2024 dijangka 4.3 peratus - Bank Dunia - Utusan Malaysia

Pertumbuhan ekonomi Malaysia 2024 dijangka 4.3 peratus – Bank Dunia

KETUA Ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi mengetuai perbincangan dalam Malaysia Economic Monitor yang berlangsung di Sasana Kijang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan terhadap ekonomi Malaysia pada tahun ini, meningkat pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.3 peratus berbanding 3.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketua Ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi berkata, jangkaan itu berikutan melihat kepada penggunaan swasta yang diramalkan menyebabkan peningkatan sederhana kepada 5.2 peratus pada 2024.

Menurutnya, keadaan tersebut ekoran terdapat penambahbaikan berterusan dalam keadaan pasaran buruh yang menyokong kepada perkembangan ekonomi pada tahun ini.

“Pertumbuhan gaji dan sokongan pendapatan isi rumah daripada kerajaan, termasuk bantuan tunai kerajaan iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga turut mendorong terhadap peningkatan bagi perkembangan ekonomi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengetuai pembentangan Malaysia Economic Monitor (MEM) di sini semalam.

Sehubungan itu, Bank Dunia meramalkan penggunaan awam akan berkembang pada kadar 2.8 peratus tahun ini berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Apurva Sanghi berkata, faktor utama yang menyebabkan peningkatan bagi penggunaan awam dikaitkan dengan kenaikan tahunan gaji penjawat awam dan pengambilan baharu untuk jawatan kritikal, iaitu kesihatan dan pendidikan sektor.

Dalam pada itu, beliau berkata, melihat kepada ramalan yang mendorong kepada jangkaan peningkatan ekonomi 2024 berikutan keadaan pasaran buruh dalam negara secara amnya bertambah baik kepada tahap pra-pandemik.

Mengulas lanjut, katanya, kadar pengangguran menurun kepada 3.3 peratus pada suku keempat 2023 berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Penurunan pengangguran dalam kalangan golongan muda menyumbang kepada kadar keseluruhan pengangguran dalam negara.

“Pada masa yang sama, keadaan itu turut menyumbang kepada peningkatan secara beransur-ansur terhadap kadar penyertaan tenaga buruh pada tahun lalu iaitu 70.1 peratus pada suku keempat 2023 berbanding 69.5 peratus tahun sebelumnya.

“Kadar pengangguran yang menurun ke paras pra pandemik ialah berhubung dengan pekerja yang sepatutnya bekerja kurang daripada 30 jam seminggu, tetapi sanggup bekerja lebih masa, sekali gus menampakkan kadar pengangguran lebih stabil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengangguran yang berkaitan dengan kemahiran ditakrifkan sebagai bahagian pekerja berpendidikan tinggi dalam pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran tinggi.

“Pengangguran dalam kalangan pekerja yang berpendidikan tinggi itu berlaku ekoran ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran yang bersesuai dengan kemahiran mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN