KETIKA saat saya mengajar, saya sering mendapati diri saya bertafakur. Pada satu malam yang penuh dengan perbincangan dan pembelajaran agama, satu soalan daripada seorang mualaf telah mencuit fikiran saya. Beliau bertanya, adakah amalan yang mengikut Syariah terhad kepada pilihan pemakanan, pakaian, dan tingkah laku sahaja, ataupun lebih daripada itu? Soalan ini, walaupun ringkas, tetap mendalam dan membuka pintu kepada renungan tentang subjek yang dekat di hati saya, perbankan dan kewangan Islam. Apa sebenarnya perbankan Islam dan apakah kepentingannya kepada semua umat manusia, bukan sahaja buat Muslim tetapi bagi sesiapa sahaja yang mencari landskap kewangan yang lebih adil dan beretika?
Perbankan yang mematuhi Syariah, merupakan satu konsep yang bukan hanya mengikut ajaran Islam, tetapi lebih daripada sekadar arahan agama, ia merupakan sebuah cara pengurusan wang yang beretika, lestari, dan adil. Perbankan Islam juga adalah satu refleksi bagaimana pengurusan kewangan yang mencerminkan nilai-nilai keadilan, ketelusan, dan tanggungjawab sosial. Perbincangan ini telah membuat saya berfikir dan berbincang secara lebih mendalam tentang daya tarikan perbankan Islam yang universal, bukan hanya sebagai pilihan berasaskan kepercayaan agama, tetapi sebagai mercu tanda perbankan beretika di Malaysia, yang boleh membawa manfaat kepada semua rakyat, tanpa mengira kepercayaan atau agama.
Rangka Perbankan Islam yang Beretika
Secara dasarnya, perbankan Islam beroperasi dengan mematuhi undang-undang Syariah, menolak amalan penetapan bunga (riba) dalam semua transaksi. Prinsip ini sahaja cukup untuk memisahkan perbankan Islam dari yang lain, mempromosikan sistem yang menghalang perangkap hutang dan eksploitasi kewangan. Sebaliknya, perbankan Islam lebih mengutamakan perkara yang memberi manfaat dan mencegah kemudaratan di mana hak dan tanggungjawab antara pihak bank dan pelanggannya lebih jelas, beretika serta mematuhi undang-undang.
Selain itu, perbankan Islam menekankan transaksi berdasarkan aset yang nyata. Ini memastikan apa-apa pelaburan yang dibuat boleh menyumbang kepada aktiviti yang mengembangkan ekonomi. Ini bukan hanya mengurangkan risiko yang berkaitan dengan perdagangan berspekulasi, tetapi juga mengukuhkan sistem kewangan dalam ekonomi, meningkatkan stabiliti dan daya tahannya.
Ciri perbankan Islam lain yang menonjol adalah polisi pelaburan yang beretika, khususnya penghindaran dari melabur dalam aktiviti yang memudaratkan masyarakat, seperti perdagangan alkohol, berjudi, dan aktiviti yang membawa kepada pencemaran alam sekitar. Langkah berkesedaran dalam pelaburan ini menekankan komitmen terhadap tanggungjawab sosial dan prinsip kelestarian, yang sangat dihargai di dunia yang semakin sedar dan aktif dalam aspek alam sekitar dan kebajikan sosial.
Prinsip-prinsip utama ini menyeru kepada pengurusan kewangan yang jelas dan pelaburan bertanggungjawab, yang bukan hanya membina kepercayaan dalam komuniti, tetapi juga melindungi masa depan kita secara kolektif.
Perbankan Islam menetapkan asas sistem kewangan yang lebih inklusif. Di Malaysia, sebuah negara yang dikenali dengan kepercayaan agama yang pelbagai dan kaya dengan budaya, prinsip-prinsip perbankan Islam telah menonjol atas dasar penekanannya dalam nilai keadilan dan kesaksamaan. Ini merupakan rangka model yang bertujuan untuk mendorong inklusiviti, di mana pengagihan kekayaan lebih adil dan juga perkhidmatan kewangan lebih luas. Sistem ini, seharusnya, membuka pintu untuk kebebasan kewangan bagi lebih ramai rakyat Malaysia.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam “Journal of Islamic Accounting and Business Research”, perbankan Islam telah menunjukkan potensi signifikan dalam meningkatkan inklusi kewangan, khususnya dalam kalangan populasi yang tidak memiliki akaun bank di Malaysia. Ini telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi secara keseluruhan (Said & Grassa, 2013).
Model perbankan ini juga selari dengan etos Malaysia ‘Muhibbah’ – istilah yang merangkum semangat toleransi, kefahaman, dan kehidupan harmoni. Ini adalah cerminan komitmen masyarakat terhadap prinsip-prinsip yang melangkaui batas kepercayaan dan budaya.
Lompatan Digital: Perbankan Islam di Era Teknologi
Sejak kebelakangan ini, transformasi digital perbankan telah meletakkan perbankan Islam dalam perhatian, membuktikan bahawa perbankan beretika bukan hanya layak tetapi juga penting di dunia moden. Teknologi telah menjadi katalis dalam memperjelaskan konsep kewangan Islam, menjadikannya lebih mudah diakses dan menarik bagi kebanyakan pengguna, sama ada di dalam ataupun di luar komuniti Muslim.
Malaysia baru-baru ini telah memulakan perjalanan perbankan digitalnya dan tidak lama lagi, dengan Bank AEON, dapat menawarkan bank digital patuh syariah yang pertama buat rakyat. Bank digital Islam AEON akan memanfaatkan teknologi terkini dan menawarkan perkhidmatan kewangan yang mudah diakses, telus dan patuh syariah, sekaligus merapatkan jurang antara amalan perbankan Islam tradisional dan pengguna moden yang mahir teknologi. Transformasi digital ini berpotensi untuk mendemokrasikan perbankan Islam dan mengintegrasikan amalan perbankan beretika ke dalam landskap kewangan arus perdana.
Merujuk kepada soalan yang telah menggamit renungan saya, terbukti jelas bahawa amalan patuh Syariah merupakan sesuatu yang melangkau sekadar menjaga tingkah laku peribadi kita; ia juga merangkumi cara mengurus sumber kewangan kita. Menelusuri perjalanan kehidupan ini, sambil mencari cara untuk menyelaraskan antara tindakan kita dan nilai kita bersama, prinsip perbankan Islam menawarkan jalan untuk mencapai bukan hanya kejayaan kewangan, tetapi juga integriti kewangan.
Dalam bulan Syawal dan pada musim Aidilfitri yang mulia ini, saya mengajak warga Malaysia untuk meneroka prinsip-prinsip perbankan Islam. Sama ada atas dasar beretika ataupun komitmen terhadap tanggungjawab sosial, mari kita sama-sama mengimbau prinsip-prinsip ini, bukan hanya sebagai kewajipan agama, tetapi sebagai komitmen bersama untuk membina masyarakat yang lebih adil dan makmur untuk semua.
Bersama-sama, marilah kita membina sistem kewangan yang mencerminkan nilai dan aspirasi bersama, kita jadikan integriti kewangan sebagai tonggak identiti kebangsaan.
PENULIS – Ibrahim Mohd Hasan, Ketua Pegawai Syariah Bank AEON (M) Berhad. – UTUSAN










