PETALING JAYA: Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mencatatkan keuntungan RM83.2 juta pada suku pertama 2024, sekali gus merekodkan peningkatan keuntungan bersih lebih tinggi daripada jangkaan MIDF Research sebelum ini.
Prestasi positif yang berjaya ditunjukkan oleh Pavilion REIT pada awal tahun ini sekali gus disebabkan terutamanya oleh sumbangan yang lebih baik daripada Pavilion KL Mall dan Pavilion Bukit Jalil.
Menurut MIDF Research, seperti yang dijangkakan, tiada pengagihan seunit (DPU) diumumkan bagi suku pertama 2024 kerana dasar pengedaran dwitahunannya.
“Pendapatan hartanah bersih (NPI) Pavilion KL Mall lebih tinggi pada RM96.6 juta iaitu peningkatan 2.3 peratus suku ke suku yang boleh dikaitkan dengan perolehan sewa yang lebih tinggi.
“Begitu juga, NPI Pavilion Bukit Jalil meningkat kepada RM26.8 juta dengan peningkatan 15.9 peratus suku ke suku disebabkan oleh pendapatan sewa yang lebih tinggi dan sumbangan daripada pusat pameran Pavilion Bukit Jalil,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pendapatan Pavilion REIT sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi hartanah yang lebih tinggi iaitu perbelanjaan utiliti dan penyelenggaraan.
“Oleh itu, kami mengekalkan ramalan pendapatan Pavilion REIT kekal untuk pada tahun ini, 2025 dan 2026.
“Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan Pavilion REIT akan terus dipacu oleh Pavilion KL Mall dan Pavilion Bukti Jalil,” katanya.
Dalam pada itu, walaupun MIDF Research mengekalkan penarafan beli, namun firma penyelidikan itu mengunjurkan harga sasaran Pavilion REIT tidak berubah sebanyak RM1.48.
“Kami mengekalkan harga sasaran kami untuk Pavilion REIT pada RM1.48, berdasarkan Model Diskaun Dividen.
“Kami positif terhadap Pavilion REIT kerana pusat beli-belah utamanya iaitu Pavilion KL Mall sepatutnya terus mencatat pertumbuhan pendapatan dalam jangka pertengahan hingga panjang di tengah-tengah bilangan pembeli yang tinggi,” jelasnya.
Tambah firma penyelidikan itu, peningkatan yang stabil di Pavilion Bukit Jalil sepatutnya diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan yang lebih baik pada masa hadapan. – UTUSAN










