PETALING JAYA: Kerajaan bakal menubuhkan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, penubuhan ENEGEM adalah selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui ASEAN Power Grid.
Menurut kementerian tersebut, urusan perdagangan tenaga merentas sempadan itu akan dilaksanakan berpandukan Panduan Jualan Elektrik Rentas Sempadan (CBES) terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Petra mempelawa pihak yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses bidaan pembelian bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk disalurkan ke sistem bekalan elektrik Singapura.
“Pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt (MW),” menurut kenyataan.
Tambahnya, pelaksanaan tersebut akan menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dan Singapura.
“Sehubungan itu, intipati daripada pelaksanaan proses bidaan bagi pembelian bekalan elektrik hijau iaitu skim perintis berkenaan adalah terbuka kepada Pembida Tenaga Boleh Baharu (TBB).
“Pembida haruslah mempunyai lesen penjanaan danatau lesen peruncitan bekalan elektrik untuk pasaran Singapura dan perlu berdaftar dengan pembeli tunggal untuk menyertai proses bidaan yang dilaksanakan,” ujarnya.
Petra menambah, pembida yang memohon untuk didaftarkan akan dinilai menerusi proses pra-kelayakan.
Katanya, mereka (pembida) yang berjaya akan mendapat notifikasi untuk melakukan bidaan pembelian Bekalan Elektrik Hijau pada hari bidaan.
“Bagi pembida yang berjaya, mereka akan menandatangani Perjanjian Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu dengan pembeli tunggal untuk urus niaga bekalan elektrik hijau yang telah berjaya dibida.
“Pembida TBB yang berminat boleh mendaftarkan hasrat penyertaan melalui laman sesawang Petra atau pembeli tunggal mulai 16 April 2024,” katanya.
Justeru, Petra yakin dengan pelaksanaan bidaan melalui platform ENEGEM ini akan membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi kerangka kerja pembekalan elektrik merentas sempadan, seterusnya membuka peluang pembangunan serta usaha sama bidang TBB yang lebih luas melalui perdagangan TBB merentas sempadan antara negara ASEAN. – UTUSAN







