Kerajaan pantau kesan peningkatan ketegangan Iran-Israel

Kerajaan pantau kesan peningkatan ketegangan Iran-Israel – Tengku Zafrul

TENGKU Zafrul Abdul Aziz (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran pembinaan Hab Auto MCE Holdings Bhd (MCE) di Serendah, Selangor di sini hari ini.-UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERENDAH: Kerajaan sedang memantau rapi kesan peningkatan ketegangan antara Iran dan Israel terhadap ekonomi Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, terdapat beberapa laporan yang menunjukkan kemungkinan peningkatan ketegangan di Iran tetapi pasaran kekal tenang. 

“Bagaimanapun, terdapat kebimbangan jika keadaan terus meningkat, harga minyak mungkin terjejas kerana rantau ini merupakan laluan penting bagi eksport minyak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pembinaan Hab Auto MCE Holdings Bhd (MCE) di sini hari ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

MCE Holdings Bhd. (MCE) melalui anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd., sebuah peneraju dalam pengeluaran peralatan asal (OEM) bagi komponen elektronik automotif dan mekatronik, komited untuk membuat pelaburan berjumlah RM150 juta hingga 200 juta ringgit dalam tempoh 10 tahun.

Kilang seluas lapan ekar (359,370 kaki persegi), fasa pertama MCE Auto Hub ini akan menyaksikan pelaburan awal sebanyak RM50 juta.

Apabila siap dibina, hab itu bakal menjadi kilang pengeluaran utama MCE yang akan meningkatkan kapasitinya untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap komponen dan sistem elektronik yang canggih dalam kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV). 

Tengku Zafrul dalam ucapan berkata, beliau memuji keputusan yang dibuat oleh MCE ini untuk mengeluarkan solusi canggih yang dapat melonjakkan ekosistem automotif negara.

Katanya, ini merupakan sebuah cerminan kepada dasar strategik yang diterapkan oleh kerajaan dan juga MITI untuk merancakkan pertumbuhan di dalam sektor automotif negara.

“Pembangunan MCE Auto Hub akan dapat mempertingkat pertumbuhan sektor ini yang pada ketika ini menyumbang sekitar RM40 bilion kepada KDNK negara sambil menyediakan 700,000 pekerjaan. 

“Namun, apa yang lebih penting adalah MCE Auto Hub bakal menjadi peneraju pengeluaran elektronik automotif di rantau ini sambil menjadikan Malaysia tarikan yang lebih besar buat pelabur automotif. 

“Ini juga selari dengan wawasan yang digariskan di dalam dasar utama seperti NIMP2030 dan Dasar Automotif Nasional,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×