Harga koko melonjak ke paras tertinggi minggu lalu - Utusan Malaysia

Harga koko melonjak ke paras tertinggi minggu lalu

LONJAKAN harga koko dunia berikutan pengeluaran yang semakin kurang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketidakstabilan harga komoditi global terutamanya koko dan biji kopi dijangka terus meningkatkan kos pengeluaran syarikat yang terlibat dengan industri makanan dan minuman (F&B).

Niaga hadapan biji koko mencecah paras tertinggi minggu lalu iaitu pada AS$11,461 (RM54,753.70) per tan metrik, meningkat lebih 50 peratus berbanding AS$4,634 (RM22,138.40) pada Januari lalu.

Bagi niaga hadapan biji kopi pula mencatat peningkatan daripada AS$192 (RM917.25) sekilogram pada Januari kepada AS$229 (RM1,094.02) bulan ini.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan harga komoditi tersebut adalah disebabkan peningkatan suhu global yang menyebabkan tanaman koko dan kopi tidak menjadi.

Ujarnya, keadaan itu menjejaskan pengeluaran sekali gus mengurangkan bekalan komoditi tersebut ke seluruh dunia dan mengakibatkan kenaikan harga.

“Kemungkinan cukai perkhidmatan yang lebih tinggi serta jangkaan rasionalisasi bahan api di Malaysia juga akan mempengaruhi kos logistik komoditi pertanian dari pelabuhan ke kilang.

“Selain itu, saya merasakan kemungkinan faktor lain pula adalah melibatkan kos pengangkutan yang meningkat ekoran krisis di Asia Barat yang masih berlanjutan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd., Juan Aranols memaklumkan, pihaknya akan menyelaraskan harga produk terpilih berikutan kenaikan harga koko global baru-baru ini.

Nestle adalah syarikat pengeluar minuman malt coklat terkenal negara dan mempunyai pelbagai jenis produk yang berasaskan koko.

Mengulas lanjut, Razman berkata, ekonomi negara kurang terjejas, namun pengguna akan terkesan dari segi pendapatan lebih guna yang akan berkurangan disebabkan kos sara hidup akan menjadi lebih tinggi.

“Ia sekali gus membuatkan pengguna terpaksa membeli barangan yang semakin mahal. Tetapi, jika ada alternatif kepada barangan tersebut, tidak akan ada impak kepada pembeli.
“Setiap syarikat berhak menaikkan harga barangan mereka jika kos bahan mentah semakin meningkat dan terpulang kepada pengguna untuk berterusan membeli barangan tersebut atau mencari alternatif yang lebih murah,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, antara faktor menyebabkan kenaikan harga seperti gangguan dalam rantaian bekalan, peningkatan kos tenaga dan kelemahan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang digunakan dalam banyak urus niaga perdagangan antarabangsa.

“Kenaikan harga makanan atau bahan mentah yang diimport bukan lagi satu perkara yang luar biasa.

“Ia kesan kadar inflasi yang mengakibatkan gangguan kepada rantaian bekalan, kenaikan kos energi dan peningkatan nilai mata wang dollar AS yang majoritnya merupakan mata wang yang digunapakai dalam transaksi eksport dan import perdagangan antarabangsa.

“Bagaimanapun, ekonomi domestik masih berkembang dengan pesat didorong oleh pelbagai faktor yang memberangsangkan, seperti kecairan tunai, permintaan dan pengguna yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×