PETALING JAYA: Pusat Pilihan Pengguna (CCC) menjelaskan minyak kelapa sawit memberi manfaat terhadap peningkatan kualiti dan produk makanan, sekali gus menolak tanggapan orang ramai yang ia membahayakan kesihatan.
Wakil CCC Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, minyak kelapa sawit menawarkan banyak faedah dan berfungsi sebagai bahan serba guna dan penting dalam industri makanan Malaysia.
Menurutnya, khasiat minyak kelapa sawit yang kaya dengan tokotrienol iaitu sejenis vitamin E bersifatkan antioksidan kuat dapat membantu melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
“Berdasarkan kajian oleh Persatuan Pemakanan Malaysia menunjukkan minyak sawit mengandungi Vitamin E yang terdiri daripada tokoferol dan tokotrienol serta karotenoid merupakan komponen penting untuk pemakanan sihat.
“Ini dimana khasiat tersebut dapat menyokong kesihatan jantung, mengurangkan keradangan, dan meningkatkan fungsi kognitif,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, katanya, CCC tegas dalam menghapuskan salah anggap orang ramai mengenai minyak sawit dengan berusaha mengetengahkan sumbangan positif kelapa sawit pada kesihatan dan pemakanan.
“Bertentangan dengan kepercayaan yang popular kebanyakan individu, minyak sawit sebenarnya tidak berbahaya apabila diambil sebagai sebahagian daripada diet seimbang.
“Malah, nutrisi yang terkandung di dalam minyak sawit menjadikannya tambahan yang berharga kepada produk makanan.” katanya.
Kata beliau, minyak sawit merupakan minyak yang bebas kolesterol dan mengandungi nisbah lemak tepu yang seimbang, monotepu dan politaktepu.
Sehubungan itu, jelasnya, minyak sawit merupakan pilihan yang sesuai bagi individu yang mencari alternatif yang sihat kepada minyak terhidrogenasi dan lemak trans.
Kata Tarmizi, minyak sawit sememangnya digunakan secara meluas dalam produk makanan sama ada menjadikannya bahan yang ideal untuk memasak, membakar dan memproses makanan.
“Minyak kelapa sawit yang berupaya untuk menahan suhu tinggi tanpa merosakkan atau menjadikannya produk yang berbahaya adalah mengapa ia menjadi pilihan utama bagi pengeluar makanan.
“Dengan merungkai salah anggap ramai dan menyebarkan fakta, CCC mahu mendorong pengguna untuk membuat pilihan termaklum tentang tabiat pemakanan dan pilihan makanan mereka,” katanya. – UTUSAN








