PETALING JAYA: Fajarbaru Builder Group Bhd. (Fajarbaru) dianugerahkan kontrak bernilai RM252.26 juta daripada WCT Holdings Berhad (WCT), menjadikan jumlah buku pesanan pembinaannya meningkat kepada RM1.2 bilion.
Anak syarikat milik penuh Fajarbaru, Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (FBSB) menerima surat anugerah untuk kontrak tersebut bertarikh 22 April 2024 daripada WCT Construction Sdn. Bhd. (WCTC), anak syarikat tidak langsung WCT Holdings Berhad.
Ia membabitkan kerja-kerja pembinaan untuk bangunan utama (Seksyen 1 : Fasa 1) bagi projek pembangunan dalam dua fasa yang akan datang yang terdiri daripada dua blok pangsapuri servis lapan menara, dengan jumlah 2,048 unit kediaman berserta 69 unit komersial di Johor Bahru, Johor.
Kontrak itu akan bermula pada 6 Mei 2024 dan dijadualkan siap pada 5 Mei 2027.
Bagi Seksyen 2 : Fasa 2 projek yang sama adalah tertakluk kepada pengesahan penganugerahan kontrak oleh WCTC yang mana keputusannya dijangka dibuat dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, ia merupakan salah satu kontrak terbesar Fajarbaru yang dimenangi setakat ini dan menjadikan buku pesanan bagi projek yang sedang berjalan meningkat kepada lebih RM1 bilion.
“Pemerolehan kontrak ini mengesahkan kedudukan kami sebagai rakan kongsi pembinaan yang dipercayai untuk pemaju hartanah utama seperti WCT.
“Kami berterima kasih kepada WCT atas kepercayaan mereka terhadap keupayaan kami dan akan bekerjasama rapat dengan mereka untuk memastikan kejayaan projek ini.
“Kami percaya tumpuan kami pada nilai tambah dan hasil yang luar biasa akan membolehkan kami mengembangkan lagi penglibatan kami dalam pembangunan hartanah ini,” katanya dalam kenyataan.
Pada Mac 2023, Fajarbaru memperoleh kontrak pembinaan RM310.54 juta daripada anak syarikat tidak langsung WCT Holdings Berhad, Kekal Kirana Sdn. Bhd.
Projek itu bermula pada 15 Mac 2023 dan dijangka siap pada 14 Feb 2026.
Kumpulan terlibat dalam pelbagai projek pembinaan termasuk bangunan kediaman bertingkat tinggi, pangsapuri mampu milik, kompleks runcit, pangsapuri servis, dan pembangunan semula kemudahan tentera.
Pada Mac 2024, Fajarbaru memperoleh kontrak bernilai RM120.82 juta untuk kerja-kerja pembinaan Johor Golf & Country Club, menandakan penerokaan sulung kumpulan ke Johor.
Fajarbaru kini sedang membida tender untuk projek pembinaan dengan anggaran nilai RM5 bilion merentas sektor swasta dan kerajaan.
Kumpulan terus memperluaskan portfolio projeknya menjangkau pelbagai wilayah dari Pulau Pinang ke Pantai Timur, Lembah Klang dan negeri wilayah selatan di Semenanjung Malaysia. – UTUSAN







