PETALING JAYA: DHE Logistics Malaysia Sdn. Bhd. (DHEL) merupakan satu-satunya syarikat penghantaran makanan halal yang menerima pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan menggunakan jenama bekal by foodpanda.
Syarikat itu turut diiktiraf akreditasi Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
DHE Logistics menubuhkan Sistem Jaminan Halal (HAS) dan Jawatankuasa Halal Dalaman untuk mengawasi proses permohonan yang teliti dan rumit bagi mendapatkan pensijilan halal. Seterusnya menjadi pentadbir bagi urusan harian dan aspek pematuhan halal bekal by foodpanda.
Pengerusi Jawatankuasa Halal DHE Logistics Malaysia Sdn. Bhd. (DHEL), Amri Mohd. Sham berkata, sekolah latihan tersebut menyediakan latihan dan bimbingan kepada vendor makanan dalam usaha mendapatkan sijil halal.
“Pada waktu ini, bukan sahaja golongan muslim yang mementingkan pensijilan Halal pada restoran dan kedai makan namun, golongan bukan muslim juga melihat halal ini baik dari semua segi termasuk kebersihan, cara penyediaan makanan dan keterjaminan makanan.
“Oleh itu, kami telah mewujudkan sistem latihan penyediaan makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Platform bekal by foodpanda yang dikendalikan oleh DHEL yang merupakan syarikat bersekutu kepada foodpanda Malaysia, bermula dengan projek perintis pada Oktober 2022 di Putrajaya dan mendapat pensijilan Halal daripada JAKIM pada Disember 2022.
Jelas Amri, melalui Sistem Jaminan Halal (HAS), pihaknya turut memastikan setiap barangan yang dihantar dan proses penghantaran itu adalah halal dari semua segi sudut termasuk makanan dan barangan, beg, rakan penghantar, peralatan dan latihan yang mencapai standard pematuhan halal JAKIM.
“Dari segi kriteria, rakan penghantar bekal by foodpanda mestilah beragama Islam sahaja. Oleh itu, kami merupakan satu-satunya platform penghantar makanan yang diluluskan oleh JAKIM.
“Malah, di bekal by foodpanda, rakan penghantar kami perlu menjalani latihan keselamatan, aspek pematuhan halal, pengendalian makanan dan kebersihan beg penghantar makanan,” katanya.
Amri berharap agar vendor makanan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan sijil pengiktirafan halal dengan segera untuk menyertai inisiatif ini.
“Proses untuk mendapatkan sijil halal kini adalah lebih cepat iaitu dalam tempoh satu bulan, seperti yang dinyatakan oleh pihak JAKIM.
“Oleh itu, PKS perlu ambil langkah yang bijak untuk mengorak langkah mengembangkan perniagaan mereka. Salah satu caranya adalah untuk mendapatkan pensijilan halal,” katanya.
Setakat ini, bekal by foodpanda mempunyai sekitar 30,000 rakan penghantar, manakala terdapat lebih kurang 7,000 vendor di seluruh Malaysia.-UTUSAN










