AirAsia Academy, CTOS perkasa PKS dengan kemahiran digital - Utusan Malaysia

AirAsia Academy, CTOS perkasa PKS dengan kemahiran digital

Tan Sri Tony Fernandes (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger (tiga dari kiri) bergambar bersama penerima penghargaan ketika pelancaran kerjasama antara CTOS dan Akademi Airasia di KL Sentral. - UTUSAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AirAsia Academy bekerjasama dengan CTOS Digital Berhad bagi memperkasa rangkaian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mempelajari kemahiran digital di pusat latihan syarikat penerbangan tambang murah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerjasama tersebut merangkumi pendidikan perniagaan strategik dalam bidang pemasaran dan penjenamaan digital serta peluang rangkaian.

Menurutnya, melalui perkongsian tersebut, beliau menjangkakan untuk melengkapkan PKS yang disahkan CTOS dan komuniti perniagaan yang lebih luas untuk meningkatkan kebolehpasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, gandingan bersama CTOS diyakini dapat menigkatkan kecekapan PKS dalam kemahiran teknologi yang penting untuk landskap perniagaan yang diterajui secara digital semasa.

“Kerjasama ini membolehkan ahli akademik mempelajari untuk memperkembangkan kemahiran mereka dalam pembelajaran berkaitan media sosial, mendapatkan data dan sebagainya.

“Ini sekali gus dapat membimbing mereka untuk mempertingkatkan gerak kerja dalam perniagaan,” katanya dalam sidang media di majlis pelancaran kerjasama antara CTOS dan AirAsia Academy.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger berkata, pihaknya komited untuk menyediakan pelbagai peluang rangkaian dan pembelajaran melalui perkhidmatan CTOS Verified.

Jelasnya, penyediaan perkhidmatan latihan adalah penting bagi PKS untuk kekal tangkas, berdaya saing dan mampan dalam landskap perniagaan dinamik masa kini.

“CTOS Verified bukan sahaja mencipta lebih banyak peluang untuk perniagaan tetapi juga menekankan kredibiliti dan kebolehpercayaan PKS kepada bakal pelanggan, pembekal dan rakan kongsi perniagaan.

“Melihat kepada kemajuan teknologi yang pesat hari ini, proses pembelajaran menjadi lebih penting bagi PKS untuk mengikuti pengetahuan dan trend terkini dalam industri masing-masing.

“Kami berharap perkongsian dengan rakan-rakan PKS kami di CTOS Verified akan memupuk pembangunan ekonomi yang mampan dan menyediakan individu dan perusahaan ini untuk menghadapi cabaran dan peluang ekonomi digital masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, CTOS menyasarkan 2,000 pelanggan mereka mengambil peluang mempelajari kemahiran tersebut di AirAsia Academy. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini