ADA pepatah Inggeris mengatakan “Mengapa betulkan kalau tidak rosak?” mengesahkan bahawa rekaan dan fungsi yang telah diperkenalkan pada media tempatan iaitu model Yamaha Tenere 700 pada 2022 dahulu, tidak perlu ditukar secara drastik. Ini membolehkan para pencinta motosikal lasak atau dwi-guna ini kekal dikenali dengan hanya nama dan rekaan reka bentuknya.
Namun, perubahan tidak dapat diketepikan dan pembangunan teknologi ternyata bukan sesuatu yang boleh dipandang sepi. Begitu juga dengan Yamaha Tenere 700 atau lebih dikenali sebagai T7, harus menerima perubahan. Sungguhpun begitu, Yamaha memastikan perubahan tersebut adalah penambahbaikan dan juga tidak menjejaskan rupa fizikal dan juga fungsinya.
Maka kehadiran T7 yang baharu ketika diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada suku kedua 2023 lalu, saya teruja menanti model yang disediakan untuk diulas oleh media. Setelah sekian lama menanti, hanya pada awal tahun ini saya berupaya membawanya keluar untuk dipandu uji.
Apakah perbezaannya? Ikuti hasil pandu uji saya.
REKA BENTUK FIZIKAL
Kalau ada pun perubahan, saya boleh mengatakan ia tidak sampai lima peratus pun. Daripada pengamatan fizikal, meter adalah bahagian utama yang diubah daripada paparan Paparan hablur cecair (LCD) ke Transistor Filem Nipis (TFT). Lampu utamanya tidak langsung berubah sama ada dari segi rekaan atau fungsi. Akan tetapi, keempat-empat signalnya telah ditukar kepada yang lebih tirus sedikit dan penggunaan system lampu diod pemancar cahaya (LED).

Saya mendapati atau getah pemegang pendikit dan bar pemegang menggunakan jenis getah yang mempunyai jalur keras. Saya faham akan fungsinya tetapi merasakan ia bukan keperluan kerana selalunya sarung tangan yang digunakan untuk menunggang motosikal dwiguna ini adalah yang jenis lebih pendek, lebih tipis, tidak seperti sarung tangan perlumbaan litar. Terasa sedikit kurang selesa ketika menggengam kuat grip tersebut, terutama ketika menunggang di laluan berbatu atau pasir yang memerlukan penunggangnya lebih kemas memegang bar pemegang.
Tombol-tombol suisnya mempunyai sedikit perubahan untuk dipadankan dengan sistem meter TFT yang baru ini. Bagi suis untuk menghentikan fungsi sistem ABS, model 2022 meletakkan suis tersebut atas meter LCD, namun untuk model 2023 ini, ia dialihkan serta berasingan daripada meter. Begitu juga dengan ruang pengecas alat peranti anda, yang mana model 2022 dibekalkan dengan jenis pencucuh api namun untuk model 2023 ini, penggunaan USB dilihat sebagai mengikuti trend masa kini.
Selain itu, saya tidak mampak sebarang perubahan langsung daripada model sebelumnya.

PENUNGGANGAN
Apa yang pernah saya rasai dan alami dengan model 2022, ternyata tiada perubahan langsung pada model 2023. Kedudukan penunggang yang menegak dan agak tinggi daripada permukaan jalan masih menjadi identitinya.
T7 ini mempunyai kekuatan tujahan yang sama, pengendalian yang sama, malah sistem suspensi yang membuatkan saya kagum terhadap motor ini juga adalah sama hebat dengan model 2022.
Secara keseluruhannya, apakah yang lebih baik pada model ini? Saya boleh katakan, ia sama hebat dengan model tahun lepas. Kepuasan penunggangan yang diperolehi, sama ada atas lebuh raya, atau pun di laluan berpasir, batuan atau hutan kecil.
KESIMPULAN
Adakah terlalu awal untuk saya rumuskan? Mungkin tidak, kerana prestasi model ini langsung tidak berubah daripada model sebelumnya. Namun, saya harus memberi sedikit kritikan terhadap model 2023 ini.
Paling utama, meter TFT yang menggantikan meter LCD agak mengecewakan kerana jika dibandingkan dengan motosikal lasak atau dwiguna dalam pasaran, sekiranya meter TFT digunakan, ia mampu untuk berhubung dengan alat peranti anda seperti android auto atau apple carplay. Sistem pada paparan meter TFT selalunya membolehkan anda sekurang-kurangnya menggunakan sistem mirroring yang mana boleh memaparkan pada skrin TFT tersebut kesemua sistem pada alat peranti anda. Anda berupaya untuk mengangkat panggilan dengan hanya menekan suis tombol pada skrin atau bar pemegang, mendengar muzik menerusi memori telefon bimbit anda dan yang paling utama, boleh memaparkan sistem tunjuk arah seperti ‘Google Map’ atau ‘Waze’.
Jika hanya memaparkan nombor-nombor kelajuan, rpm, suhu enjin, baki kuasa bateri atau odometer, apakah sebabnya keperluan ditukar dari sistem LCD pada model 2022?
Selepas mengambil kira fakta ini, saya yakin Yamaha akan mengatakan bahawa sebab T7 ini begitu popular dan tinggi jualannya, adalah kerana model ini Tidak menampilkan sistem elektronik yang canggih dan komprehensif. Ini memudahkan pengurusan, baik pulih mahupun pengendalian, tidak seperti saingannya daripada jenama-jenama lain.
Untuk merumuskan tentang hasil pandu uji saya tentang T7 ini, saya tidak langsung ‘hilang’ keseronokannya berbanding sesi pandu uji saya dengan T7 model 2022 yang lalu. Ini disebabkan prestasi kestabilan, kuasa enjin malah keadaan fizikal badan daripada sesi-sesi penunggangan Yamaha T7 langsung tidak berubah daripada model sebelumnya. Saya tetap akan mengatakan Yamaha T7 ini adalah motosikal dwiguna atau motosikal lasak terbaik pernah saya tunggang setakat ini.
Namun, Yamaha perlu prihatin tentang kewujudan model-model daripada China sekarang yang saya lihat tidak perlu menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang keterlaluan kerana keberadaan enjin, aksesori, sistem elektronik dan casis untuk dua tahun kebelakangan ini terlalu mudah didapati dalam pasaran terbuka. Beli dan pasang, maka akan terhasillah motosikal yang siap sedia untuk dipasarkan.
Pembekal dari China sudah arif tentang permintaan pasaran pada zaman sekarang dan berusaha keras untuk membekalkan permintaan berikut, manakala pembekal dan pembuat motosikal daripada jenama-jenama Jepun seperti sedang dibuai mimpi dan terlalu lambat untuk melakukan perubahan atau mengenalpasti permintaan pasaran.
Bagaimanakah masa depan jualan Yamaha Tenere 700 ini yang meletakkan harga hampir RM70,000 seunit walau pun kini telah melalui proses pemasangan tempatan dan asia? Kita tunggu dan lihat. – UTUSAN










