DRB-HICOM catat untung sebelum cukai RM446.9 juta

Untung sebelum cukai TK2023 DRB-HICOM meningkat 9.0 peratus kepada RM446.9 juta

DRB-HICOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM446.9 juta (TK2022: RM410.0 juta) untuk 12 bulan berakhir 31 Disember 2023, peningkatan 9.0 peratus daripada tahun sebelumnya.

Menurut DRB-HICOM, ia bersandarkan kepada peningkatan 2.2 peratus dalam hasil, yang berjumlah RM15.9 bilion (TK2022: RM15.5 bilion).

“Bagi suku semasa berakhir 31 Disember 2023, Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM45.7 juta, dengan hasil sebanyak RM3.8 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, peningkatan PBT Kumpulan untuk TK2023 didorong terutamanya oleh prestasi kukuh dalam sektor automotif yang menyaksikan pertumbuhan hasil sebanyak 2.3 peratus kepada RM11.3 bilion daripada RM11.1 bilion pada TK2022.

Katanya, prestasi bertambah baik itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan volum jualan kenderaan, prestasi selepas jualan yang kukuh dan inisiatif pengurangan kos operasi yang berkesan.

Tambahnya, pengeluar kereta nasional Proton, mencapai rekod tertinggi baharu dalam jualan kenderaan semenjak 2011 dengan 154,611 unit terjual pada 2023 (TK2022: 141,432 unit).

Honda pula mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional yang dipegangnya sejak 2014, mencapai sasaran jualan 2023 iaitu lebih 80,000 unit.

Sektor perbankan mencapai peningkatan hasil sebanyak 35.3 peratus kepada RM1.7 bilion daripada TK2022 berjumlah RM1.3 bilion.

“Ini terutamanya disebabkan oleh pendapatan pembiayaan lebih tinggi yang didorong oleh peningkatan dalam volum pembiayaan berikutan pengembangan yang mampan dan pangkalan pelanggan yang semakin meluas, bersama-sama dengan
kenaikan dalam Kadar Polisi Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus pada TK2023 daripada 2.75 peratus pada TK2022,” katanya.

DRB-HICOM turut memaklumkan, sektor perkhidmatan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 13.4 peratus kepada RM833.6 juta berbanding TK2022 berjumlah RM734.8 juta.

Ia disumbangkan terutamanya oleh perniagaan katering dalam penerbangan dengan jumlah penyedian makanan dan perniagaan pengendalian darat yang lebih tinggi sejajar dengan peningkatan bilangan penerbangan, serta peningkatan pendapatan daripada perniagaan Ar-Rahnu, jelasnya.

Dalam pada itu, Kumpulan menjangkakan prestasi positif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Katanya, ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada 2024, terutamanya didorong oleh pemulihan perdagangan luar dan perbelanjaan domestik yang berdaya tahan.

Pendirian dasar monetari tambahnya, kekal menyokong pertumbuhan domestik yang mampan, dengan OPR kekal pada 3.0 peratus. Di peringkat global, prospek pertumbuhan keseluruhan berkemungkinan terjejas akibat peningkatan risiko turun naik dalam pasaran kewangan, turun naik dalam harga komoditi dan ketegangan geopolitik semasa.

“Perniagaan Kumpulan dalam sektor Perbankan terus beroperasi dengan cekap sambil mengekalkan profil risiko yang berhemat. Perniagaan dalam sektor Aeroangkasa dan Pertahanan, Pos, Perkhidmatan dan Hartanah kekal berwaspada, mengukuhkan kecekapan operasi dan mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemat, dan pada masa yang sama meneruskan agenda kemampanan Kumpulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×