PETALING JAYA: Kerajaan tidak bercadang untuk menambat ringgit pada masa ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut beliau, melihat kepada penambatan ringgit yang dibuat sekitar tahun 1998, keadaan ekonomi ketika itu amat berbeza berbanding sekarang.
Jelasnya, dari segi kedudukan ekonomi pada tahun itu, pasaran saham jatuh sebanyak 76 peratus tetapi sekarang jika dilihat dari awal tahun ini pasaran saham sudah naik sebanyak enam peratus.
“Pinjaman dari luar negara pada 1998 adalah pada 16 peratus daripada pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding pinjaman dari luar negara ketika ini hanya pada dua atau satu peratus.
“Kita lihat dari segi rizab negara…rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah sekitar RM13 bilion, ia lebih baik berbanding RM26 bilion pada 1998.
“Sehubungan itu, tiada keperluan untuk kita bertindak balas dengan tergesa-gesa mengenainya. Memang kerajaan peka terhadap isu ringgit dan akan berusaha untuk menanganinya,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin mengetahui adakah kerajaan merancang untuk menambat ringgit bagi mengekang atau menjaga aset negara.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan penganalisis juga berpendapat bahawa ringgit akan mengukuh pada tahun ini ke tahap yang lebih baik dan diunjurkan meningkat kepada RM4.50.
“Menerusi Kerangka Ekonomi Madani, kita yakin ringgit akan berada pada kedudukan lebih baik pada masa depan,” katanya. – UTUSAN







