PETALING JAYA: Kumpulan QES Berhad (QES) memperkukuh kepimpinan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui kilang pembuatan baharu bernilai RM40 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang (QES 2@BKIP).
QES 2@BKIP direka bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan melaksanakan penyelesaian tenaga yang boleh diperbaharui serta dijangka mencipta 100 peluang pekerjaan berkualiti tinggi dalam tempoh tiga tahun.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Pelan Induk Industri Baru (NIMP) 2030 dengan jelas menetapkan perjalanan reformasi industri Malaysia ke arah mencapai kekompleksan ekonomi lebih tinggi, kecemerlangan teknologi, kelestarian,serta inklusiviti ekonomi.
Jelas Zafrul, konvergensi dua atau lebih daripada objektif itu melalui sektor sasaran NIMP akan membantu mempercepatkan reformasi industri dan kilang baharu QES untuk pembuatan semikonduktor teknologi tinggi bertemu dengan kelestarian.
“Konvergensi sedemikian akan membantu sektor pembuatan bergerak ke atas rantai nilai global dengan lebih cepat, mencipta pekerjaan berkualiti untuk rakyat dan menyumbang kepada masa depan tanpa sisa karbon,” ujarnya dalam kenyataan.
Dalan pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman menekankan kepentingan tema ESG dalam membentuk semula amalan perniagaan kontemporari, terutamanya dalam industri semikonduktor.
Beliau berkata, matlamat kelestarian QES sejajar dengan tren semasa di kalangan syarikat dan pelabur untuk memberi keutamaan kepada pertimbangan ESG.
“Saya gembira melihat komitmen mereka terhadap inovasi dan kelestarian yang dibuktikan dengan memberi keutamaan kepada penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan bahan mesra alam,” katanya.
Arham menambah, MIDA memberi sokongan penuh kepada usaha itu dan mengiktiraf potensi QES untuk mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi, sekali gus membentuk masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Pengarah Urusan QES, Chew Ne Weng berkata, QES berkomitmen dan mengambil langkah penting dalam mencapai tonggak-tonggak ESG mereka dan memberi keutamaan kepada pencapaian keuntungan operasi serta memberi tumpuan kepada kriteria ESG sebagai komponen penting dalam kelestarian perniagaan.
Pada masa yang sama, QES 2@BKIP akan digunakan untuk menempatkan syarikat usahasama, Applied Engineering Technology (M) Sdn. Bhd. (AETM) dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Applied Engineering Inc. – UTUSAN










