Capex Petronas: Uzma, Dayang Enterprise terima manfaat

Peningkatan capex Petronas: Uzma, Dayang Enterprise terima manfaat utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Uzma Bhd. dan Dayang Enterprise Holdings Bhd. diunjur menjadi penerima manfaat utama peningkatan perbelanjaan modal domestik (capex) Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Public Investment Bank (PublicInvestment) berkata, Tinjauan Aktiviti Petronas (PAO) 2024 menunjukkan tahap aktiviti yang tinggi untuk tiga tahun akan datang yang memerlukan sejumlah besar aset seperti unit kerja hidraulik (HWU) dan kapal perkhidmatan luar pesisir (OSV).

“Kadar sewa unit atau harian bagi aset tersebut akan terus meningkat berikutan kekurangan aset ini dalam kalangan pemain industri tempatan.

“Uzma dan Dayang berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada pasaran sebagai pemilik aset utama ini,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, capex Petronas meningkat kepada RM52.8 bilion pada tahun kewangan 2023 berbanding RM50.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, kumpulan itu memperuntukkan perbelanjaan modal terbanyak kepada segmen huluan berjumlah RM26.9 bilion dan tahun kewangan 2023 juga merekodkan perbelanjaan capex tertinggi dalam tempoh enam tahun iaitu sebanyak RM26.2 bilion.

“Perbelanjaan modal itu disalurkan kepada projek gas asli cecair (LNG) terapung berhampiran pantai di Sabah dan pembangunan lapangan Kasawari dan kemudahan penyerapan karbon dioksida (CO2) di Sarawak,” ujarnya.

PublicInvestment berkata, Petronas menjana aliran tunai operasi sebanyak RM114.2 bilion pada purata harga minyak mentah Brent sebanyak AS$82.60 setong pada 2023 dan mempunyai penimbal yang mencukupi selepas pembayaran belanja modal dan dividen.

Memasuki 2024, firma penyelidikan itu menjangkakan capex domestik Petronas kekal utuh dengan sasaran tahunan sebanyak 22.6 bilion berdasarkan harga minyak Brent yang stabil kerana ia didagangkan pada purata AS$81 setong.

“Sentimen juga meningkat dengan lanjutan pemotongan pengeluaran OPEC+ baru-baru ini sehingga Jun 2024 dan semakan lebih tinggi terhadap prospek permintaan minyak meningkat sebanyak 1.3 juta tong sehari daripada 1.2 juta tong sehari oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

“Bagaimanapun, kami tidak begitu yakin bahawa minyak Brent akan melebihi paras AS$90 setong bagi jangka pendek disebabkan kapasiti yang mencukupi daripada OPEC+ dan tahap pengeluaran yang tinggi di Amerika Syarikat (AS),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN