Pelan pembangunan LTSAAS dijangka jana pendapatan RM216.6 bilion setahun - Utusan Malaysia

Pelan pembangunan LTSAAS dijangka jana pendapatan RM216.6 bilion setahun

LAPANGAN Terbang Sultan Abdul Aziz Subang (LTSAAS) bakal menjalani pembangunan semula.- UTUSAN/YULPISMAN ASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menerusi anak syarikatnya, KLIA Aeropolis Sdn. Bhd. (KASB) akan melaksanakan pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang yang dijangka menjana pendapatan berjumlah RM216.6 bilion atau RM8.7 bilion setahun kepada ekonomi negara dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Pelan pembangunan itu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Menurut Pengurus Besar KASB, Randhill Singh, pembangunan semula kemudahan yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang itu juga dijangka mewujudkan sekitar 8,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai peringkat kemahiran.

Ujarnya, ia meliputi sejumlah 911 atau 11 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi, 3,840 (48 peratus) kemahiran pertengahan manakala, 3,238 (41 peratus) pekerjaan berkemahiran rendah.

“Apabila LTSAAS beroperasi kelak diunjurkan melonjak daya saing negara dengan hab aeroangkasa serantau seperti Taman Aeroangkasa Seletar Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa U-Tapao Thailand.

“Pelan ini akan mengubah LTSAAS dan kawasan sekitar menjadi hab ekonomi dan sosial, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Ia juga bakal menjana nilai tambah berjumlah RM93.7 bilion dalam tempoh 25 tahun akan datang atau sekitar RM3.7 bilion setahun dan menyumbang 1.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor,” katanya pada taklimat media di sini.

Menurut Randhill, pelan pembangunan semula LTSAAS yang bermula pada 2022 bakal memberi tambahan ruang sekitar lapan juta kaki persegi atau kira-kira 300 peratus daripada kapasiti semasa lapangan terbang itu.

Ini sekali gus melengkapkan matlamat sebahagian inisiatif MAHB menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan di rantau ini.

Pelan induk pembangunan semula LTSAAS akan meliputi sekitar 40 hingga 50 peratus daripada kira-kira 404.7 hektar tanah yang dimiliki MAHB di LTSAAS bagi pembangunan industri di kawasan berkenaan membabitkan tiga bahagian utama iaitu menjadi lapangan terbang bandar, perniagaan penerbangan dan ekosistem aeroangkasa.

Mengulas lanjut, Randhill berkata, pembangunan LTSAAS akan membabitkan sekitar 124 industri yang memberi impak merentasi pelbagai segmen di Malaysia.

“Pembangunan ini dijangka meningkatkan pendapatan isi rumah di kawasan sekitar dan menyokong komuniti berpendapatan rendah seperti Kampung Melayu Subang (RM3,500) dan Bandar Pinggiran Subang (RM6,000), selain disasarkan untuk mengatasi pendapatan median Daerah Petaling sebanyak RM8,993 (2019).

“LTSAAS juga dapat memanfaatkan kumpulan bakat tempatan yang mahir dengan lebih 70 peratus daripada populasi berusia 15 hingga 65 tahun.

“Ia turut meremajakan kawasan sekitar dengan menarik pelaburan, selain menyokong pendapatan penduduk setempat serta menyokong perniagaan kecil bagi merancakkan lagi ekonomi,” katanya.

Jelas beliau, antara syarikat yang beroperasi di LTSAAS ialah General Electric (GE), Airbus Helicopters, Dassault Aviation, Leonardo Helicopters selain beberapa syarikat Peringkat 1 dan 2 serta antarabangsa termasuk Spirit Aerosystems, Skyways Techics, Collins Aerospace, TP Aerospace serta Global Turbine Asia.

Di samping itu, terdapat 12 pengendali tempatan termasuk perniagaan kecil dan sederhana (SME) yang turut terlibat.

Selain itu, MAHB memperuntukkan pelaburan RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun bagi pembangunan semula LTSAAS dengan pelaburan itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan dan baki RM300 juta lagi bagi pembangunan infrastruktur asas seperti laluan masuk, tempat letak kenderaan serta pusat makanan dan minuman (F&B).

Pelaburan yang akan disuntik menerusi dana dalaman MAHB termasuk pinjaman dan perkongsian pintar pelaburan dengan peserta industri aeroangkasa serta penerbangan itu dijangka mencetus impak ekonomi daripada penerbangan, komersial, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta sektor pembuatan aeroangkasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN