DISTINCTIVE World Sdn. Bhd., melancarkan sebuah projek pangsapuri servis, TuJu @ Duta North di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Menara berkembar 41 tingkat ini bakal menjadi mercu tanda Duta North, dengan 932 unit pangsapuri servis yang mempunyai ciri- ciri yang selesa.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Distinctive World Sdn. Bhd., Lim Ech Chan berkata, TuJu @ Duta North merupakan projek yang dirancang dan direka bentuk dengan teliti untuk memenuhi keperluan dan kehendak generasi baru dalam memelihara nilai-nilai kekeluargaan.
“Apabila kami mereka bentuk projek ini, kami menyedari aksesibiliti yang ditawarkan oleh projek kami dengan akses secara terus ke pusat bandar melalui Jalan Kuching dan ke rangkaian lebuh raya di sekitar.
“Oleh itu, kami bermula dengan konsep perpaduan keluarga bagi membolehkan kehidupan pelbagai generasi dengan menawarkan unit kediaman yang boleh dihubungkan dan unit dwi-kunci,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Ech Chan, TuJu dibina atas tanah seluas 1.83 hektar itu menawarkan 10 pilihan reka bentuk berbeza untuk pilihan pembeli mengikut keperluan keluarga.
Katanya, TuJu @ Duta North dirancang untuk menaiktaraf kawasan sekitar Segambut iaitu sebelum ini terdapat kilang pemasangan Nissan milik Tan Chong Bhd. pernah menjadi mercu tanda perindustrian di kawasan tersebut.
“TuJu akan mengubah landskap Duta North dengan seni bina moden dan reka bentuk inovatif. Kami berhasrat menawarkan gabungan penuh keselesaan antara unit kediaman dan ruang komersial,” katanya.
Tambahnya, terdapat projek mesra kenderaan elektrik (EV) di pembangunan tersebut untuk menggalakkan pembangunan yang mampan.
Lebih menarik, projek tersebut menekankan ciri-ciri mesra warga emas bagi unit-unit kediaman tertentu yang boleh dihubungkan dengan unit-unit kediaman bersebelahan untuk kehidupan berbilang generasi.
Unit kediaman mesra orang kelainan upaya (OKU) dengan kemudahan-kemudahan khusus seperti bilik mandi yang boleh diakses dengan kerusi roda dan dilengkapi dengan butang kecemasan.
TuJu turut menawarkan gabungan ruang komersial dan unit kediaman di Menara A dan Menara B setinggi 41 tingkat serta Blok Annexe.
Menara A dan Menara B menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi di aras 6 dan 41, termasuk bilik permainan, ‘sky-dining’, teater, bilik komputer dan ruang membaca.
Blok Annexe pula menyediakan kemudahan tempat letak kereta di samping ruang komersial dan pelbagai kemudahan rekreasi lain di aras 9 seperti ‘workout terrace’, gelanggang bola keranjang, gelanggang badminton dan dewan serbaguna.
Kawasan hijau seluas 76,000 kaki persegi ini turut menempatkan kolam renang infiniti sepanjang 50 meter serta ruang istirahat terapung atau ‘floating lounges’.
Terletak berhampiran lokasi strategik akses mudah ke destinasi utama seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) serta KL Metropolis.
Pembangunan ini juga berdekatan rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).-UTUSAN









