PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC, meneruskan komitmennya dalam meningkatkan pembangunan modal insan dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof dan Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Ts. Zuleah Darsong.
Pemeteraian MoU itu merupakan satu langkah penting bagi kedua-dua pihak untuk membangunkan tenaga kerja mahir secara bersama dalam bidang pengurusan dan operasi pelabuhan.
Azman berkata, perjanjian komprehensif ini merangkumi pelbagai bidang kerjasama, termasuk perkongsian kepakaran, pengetahuan, perkhidmatan dan perundingan dalam pengurusan
dan operasi industri pelabuhan.
Katanya, perjanjian tersebut juga termasuk bagi melaksanakan dan mempromosikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
“Sebagai pemain industri, Northport amat komited untuk menyokong secara aktif program dan inisiatif yang diterajui kerajaan dalam membangunkan pekerja mahir dan pada masa yang sama, menggalakkan budaya pembelajaran berterusan dalam organisasi.
“Melalui usahasama dengan JPK ini, Northport menyasarkan untuk meneroka peluang untuk kerjasama selanjutnya, khususnya dalam bidang pengurusan dan operasi pelabuhan,” katanya dalam kenyataan.
Northport telah diwakili oleh Pengurus Besar, Bahagian Modal Insannya, Norzalinda Mohamed manakala JPK diwakili oleh Ts. Zuleah Darsong pada majlis pertukaran dokumen tersebut.
Sementara itu, Zuleah berkata, dengan pengalaman selama 123 tahun dalam menguruskan pelabuhan di Pelabuhan Klang dan memperoleh pelbagai pengiktirafan sejak penubuhannya, Northport membawa banyak kepakaran di dalam kerjasama ini.
“Perkongsian strategik ini membuktikan komitmen antara kedua-dua pihak untuk membina negara, memandangkan pelabuhan dan logistik adalah industri yang penting bagi Malaysia.
“Dedikasi kami untuk meningkatkan pekerja mahir dalam pengurusan dan operasi pelabuhan melalui kerjasama ini adalah sejajar dengan visi dan misi kami untuk membina asas yang mampan, memupuk tenaga kerja mahir yang berpengetahuan, berdaya saing dan bertaraf dunia untuk negara,” ujarnya. – UTUSAN









