KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menandatangani Perkongsian Strategik Global bersama kelab bola sepak Manchester United (MU) apabila dinamakan sebagai syarikat penerbangan komersial rasmi kelab itu.
Pengarah Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail berkata, ia sekali gus dapat meningkatkan jangkauan global kedua-dua pihak.
“Ini kerana, kami dapat memanfaatkan komuniti luas dengan lebih daripada 1.1 bilion peminat kelab itu dan pengikut di seluruh dunia, termasuk 577 juta peminat yang berada dalam pasaran utama Malaysia Airlines.
“Kerjasama dengan kelab yang diiktiraf di peringkat global seperti MU meletakkan Malaysia Airlines di hadapan masyarakat dunia selain mampu meningkatkan jenama kami terutamanya di Eropah dan Asia Tenggara di mana kelab ini mempunyai peminat yang besar dari seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perkongsian di antara Malaysia Airlines dengan Manchester United, di sini semalam.
Izham berkata, kerjasama itu berfungsi sebagai pembolehubah penting dalam mencapai aspirasi Perniagaan Jangka Panjang 2.0 MAG yang memberi kuasa untuk meneroka kerjasama komersial melampaui batasan kerjasama kapal penerbangan tradisional.
“Kerjasama strategik ini berfungsi sebagai pintu gerbang kami ke pentas global dan meluaskan jejak kepada penonton di seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Komersial, MAG, Dersenish Aresandiran berkata, Malaysia Airlines akan membuka tiga laluan baharu iaitu ke Malé, Maldives (MLE) dan Da Nang, Vietnam (DAD) serta Chiang Mai, Thailand (CNX).
“Malaysia Airlines akan memulakan penerbangan harian ke MLE bermula 1 Ogos 2024, manakala penerbangan lima kali seminggu ke CNX bermula 15 Ogos 2024 dan penerbangan harian ke DAD bermula 24 September 2024,” ujarnya.
Jelasnya, Malaysia Airlines akan menyediakan penyambungan yang diperkemas dari hab utama di Kuala Lumpur dengan penerbangan langsung baru ke MLE, DAD, dan CNX dengan tiket yang boleh dibeli mulai 22 Mac 2024.
“Malaysia Airlines akan tawarkan bermula RM899 ke Maldives, RM849 bagi Chiang Mai serta RM659 untuk Da Nang, bagi semua ini adalah ‘all-in-return’,” ujarnya.
Tambahnya, laluan baharu itu menandakan destinasi ke-13 syarikat penerbangan di Asia Selatan dan ke-16 di Asean. – UTUSAN










