PETALING JAYA: Walaupun berjaya mengecilkan kerugian bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024, namun ia diunjur meningkat sebanyak enam peratus pada tahun kewangan 2025 berikutan kesan kos operasi yang tinggi.
Menurut THB Investment, firma kekal berhati-hati terhadap segmen kejuruteraan dan pembinaan kerana tiada sebarang kontrak baharu diumumkan sekali gus membuatkan buku pesanan menyusut sebanyak tujuh peratus kepada RM5 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2024.
“Penambahan buku pesanan kekal menjadi cabaran terbesar memandangkan akses terhad kepada jaminan bank dan modal kerja.
“Segmen penggerudian dijangka memberikan prestasi yang stabil kerana 10 daripada 11 pelantar berada di bawah kontrak sewa,” katanya dalam nota penyelidikan.
Kelmarin, Sapura Energy mengumumkan kerugian bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 mengecil dengan ketara kepada RM508.66 juta daripada RM3.16 bilion pada tahun kewangan 2023, hasil daripada peruntukan rosot nilai yang lebih rendah.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, industri tenaga terutama minyak dan gas menunjukkan prospek ekonomi namun tidak mengalami peningkatan yang tinggi didorong faktor ekonomi global yang terus perlahan pada 2024.
Ujarnya, Sapura Energy masih dalam proses penstrukturan semula dan setakat ini, ada petanda yang baik apabila mengurangkan kerugian yang banyak daripada lebih RM30 bilion kepada sekitar RM700 bilion.
“Petroliam Nasional Berhad (Petronas) juga pernah mengalami penurunan keuntungan daripada RM100 bilion kepada RM80 bilion antara 2022 dan 2023.
“Penstrukturan semula Sapura Energy memerlukan masa yang lebih panjang untuk ia kembali untung, dan ia berada diatas landasan yang tepat sekarang berdasarkan perolehan semasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, Sapura Energy perlu menangani segera sebarang cabaran penstrukturan semula agar ada harapan untuk mencapai prestasi lebih positif.
“Sekiranya dibaiki segera atas landasan semasa, Sapura Energy masih ada harapan untuk mengalami peningkatan lebih baik selepas ini,” katanya. – UTUSAN










