KUALA TERENGGANU: Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) berjaya meraih pendapatan sebanyak RM332.8 juta bagi tahun kewangan berakhir Disember 2023.
Pengerusi KMI Healthcare, Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, hasil pendapatan tersebut meningkat sebanyak 19 peratus berbanding RM279 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, prestasi baik itu didorong oleh faktor pertumbuhan hasil, kecekapan pengurusan kos, pelaburan strategik dan strategi kepuasan pelanggan oleh kumpulan.
“Cabaran ketika ini ialah untuk berdepan dengan pemulihan ekonomi dalam era pasca pandemik, namun KMI Healthcare tetap berjaya menunjukkan daya tahan dan mencapai kejayaan dengan pertumbuhan yang ketara.
“Kami teruja untuk melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh. Pada 2023, KMI Healthcare juga berjaya mengendalikan pengurusan operasinya dengan lebih cekap sekali gus menghasilkan margin lebih tinggi.
“Syarikat juga terus membuat pelaburan strategik dalam teknologi, infrastruktur dan pengurusan sumber manusia dalam memastikan pertumbuhan jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
KMI Healthcare adalah anak syarikat TDM Bhd, milik kerajaan negeri Terengganu iaitu sebuah syarikat sekuriti patuh syariah yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Ketika ini, KMI Healthcare memiliki lima hospital iaitu KMI Kelana Jaya Medical Centre, Petaling Jaya; KMI Kuantan Medical Centre, Pahang; KMI Kuala Terengganu Medical Centre, Kuala Terengganu, KMI Taman Desa Medical Centre, Kuala Lumpur dan KMI Tawau Medical Centre, Sabah.
Mengulas lanjut, Raja Idris berkata, pihaknya komited untuk merancang dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan terbaik di Malaysia pada masa akan datang.
Menurutnya, syarikat akan menambah baik perkhidmatan klinik dan memastikan pelaksanaan program titik sentuh pelanggan (customer touchpoint) yang lebih tersusun selepas ini.
“Setakat ini, reputasi KMI Healthcare dalam sektor penjagaan kesihatan telah diiktiraf melalui penerimaan enam anugerah berprestij di peringkat negara dan antarabangsa.
“Antara pengiktirafan diterima termasuk Healthcare Asia Awards dan Brand Laureate Best Brand Awards. Kami amat berbangga menjadi salah satu penyedia penjagaan kesihatan yang unggul di Malaysia,” katanya. – UTUSAN







